Gelembung pelancongan bersasar bantu industri pulih berperingkat

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kebenaran aktiviti pelancongan rentas antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada Rabu menerusi program Gelembung Pelancongan Bersasar dijangka mampu memulihkan kembali sektor berkenaan secara berperingkat.

Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka, Goh Hock Gin berkata, beliau yakin langkah itu mampu mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan pelancong.

Beliau berkata, keputusan itu sekurang-kurangnya merupakan permulaan baik yang dilaksanakan kerajaan yang disifatkannya bukan sahaja boleh mengawal pergerakan pelancong, malah mampu membantu mengesan pelancong terlibat sekiranya jangkitan Covid-19 dikesan berlaku dalam kalangan mereka.

"Pemain industri dan pelancong perlu akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan kerana keputusan yang dibuat perlu mengambil kira tentang penularan Covid-19 kerana kita tidak mahu ada jangkitan baharu melibatkan kluster pelancongan sekali gus menyebabkan pelaksanaan PKP 3.0," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Rabu.

Menurutnya, penduduk dari negeri PKPP yang ingin melancong ke Melaka boleh mendapatkan khidmat ejen pelancongan di bawah MATTA yang kesemuanya berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Hock Gin berkata, sehingga kini 80 ejen pelancongan berdaftar di bawah MATTA Melaka serta MOTAC, dan pelbagai pakej pelancongan menarik ditawarkan kepada pelancong.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancong Melaka, Madelina W L Kuah berkata, syarat yang dikenakan kepada pelancong dari negeri PKPP yang ingin melancong ke negeri PKPP lain dilihat agak membebankan terutama dari segi kos kerana mereka perlu melancong menggunakan khidmat ejen pelancongan.

Beliau berkata, selain itu, pergerakan pelancong juga agak terhad berbanding sekiranya mereka dibenarkan melancong dengan menaiki kenderaan sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Pelancong yang menggunakan khidmat ejen perlu menaiki bas persiaran atau kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC selain mengikut jadual perjalanan serta tempat pelancongan yang telah ditetapkan,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri di antara negeri di bawah PKPP ke negeri PKPP yang lain di bawah program Gelembung Pelancongan Bersasar, namun ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Setakat ini tujuh negeri iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya, Labuan dan Perlis berada di bawah PKPP bermula 2 Mac sehingga 15 Mac ini selain Pulau Langkawi diisytihar sebagai zon PKPP mulai Rabu walaupun Kedah masih di bawah PKPB. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Pergerakan pelancongan dari negeri PKPP ke PKPP dibenarkan bersyarat

Semarakkan pelancongan domestik melalui gelembung pelancongan bersasar