Terramalai himpun 11 rumah tradisional lebih 100 tahun

Ariffin (tengah) bersama Alex (kanan) di hadapan rumah tradisional Terengganu, Rumah Potong Belanda ketika lawatan kerja di Kampung Batu Rakit pada Selasa. Foto ihsan Facebook Ariffin Deraman
Ariffin (tengah) bersama Alex (kanan) di hadapan rumah tradisional Terengganu, Rumah Potong Belanda ketika lawatan kerja di Kampung Batu Rakit pada Selasa. Foto ihsan Facebook Ariffin Deraman
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Terengganu memperkenalkan satu lagi produk pelancongan baharu, Terramalai yang akan menghimpunkan 11 buah rumah tradisional Melayu berusia lebih 100 tahun dari seluruh negara di atas tanah berkeluasan 1.012 hektar di Kampung Batu Rakit, di sini.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, Ariffin Deraman berkata, tarikan produk pelancongan baharu berasaskan Community Based Tourism (CBT) itu dijangka memberikan kelebihan kepada penduduk setempat sekali gus dapat menjana ekonomi mereka.

“Terramalai atau diberi jolokan sebagai Tanah Senibina Melayu atau 'The Land of Malaya Architecture' akan menyediakan beberapa jenis rumah tradisional lama berusia lebih 100 tahun dari negeri-negeri di Semenanjung.

“Setakat ini kita telah memindahkan dan sedang dirikan tiga buah rumah iaitu Rumah Berserambi Satu & Beranjung (Negeri Sembilan), Rumah Beserambi Berpelepah (Kelantan) dan Rumah Potong Belanda (Terengganu).

“Kita juga akan bangunkan lima buah istana berangkai berkonsepkan Istana Tengku Mariam Kembang Puteri (Istana Terengganu) di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di beberapa kawasan produk pelancongan CBT sekitar kawasan Batu Rakit pada Selasa.

Antara kawasan dilawati ialah Telaga Besar Kampung Tanjung atau lebih dikenali oleh masyarakat setempat dengan panggilan (Telaga Purba) dan kawasan Pantai Mengabang Kapal.

Sementara itu, pemilik Terramalai, Alex Lee Yun Ping berkata, tiga rumah yang kini sedang didirikan di kawasan itu dijangka selesai pada Jun depan dengan anggaran keseluruhan kos sebanyak RM1.5 juta termasuk kelengkapan dalaman rumah.

“Kita mengalu-alukan jika ada pihak yang sudi menjalinkan kerjasama untuk proses mendapatkan rumah-rumah tradisional untuk dihimpunkan di sini dan dipamerkan kepada pengunjung.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya proses mendapatkan rumah ini berjalan lancar, saya jangka 11 rumah tradisional Melayu akan selesai dipindahkan dan didirikan di sini dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.