Operasi ekzos cekup lelaki bawa dadah

Polis menjalankan operasi kesalahan bunyi bising di Kilometer 13 Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam, Selangor pada Selasa.
Polis menjalankan operasi kesalahan bunyi bising di Kilometer 13 Lebuhraya Persekutuan, Shah Alam, Selangor pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua lelaki ditahan dalam Ops Khas di Kilometer 13 Lebuhraya Persekutuan, di sini, pada Selasa kerana memiliki dadah selain menggunakan nombor pendaftaran motosikal palsu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, operasi bermula jam 7.30 pagi itu dijalankan bertujuan mengesan kesalahan bunyi bising.

Menurutnya, operasi itu telah mengeluarkan 320 saman atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos (6), lesen (11) dan lorong motosikal (292).

"Selain itu, polis menahan dua lelaki berusia 45 dan 26 tahun masing-masing dengan kesalahan memiliki dadah serta nombor plat palsu.

"Seorang suspek terbabit dikesan membawa beberapa tiub straw disyaki berisi dadah yang disorokkan dalam kotak rokok," katanya pada Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan.

Tambah Azman, operasi ekzos bising itu mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat setempat dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal agar tidak melakukan pengubahsuaian sesuka hati.

Artikel Berkaitan: