2,370 pelajar UniSZA kembali ke kampus dikuarantin 10 hari

Antara pelajar UniSZA yang telah pulang ke kampus uniSZA bagi kemasukan fasa pertama pada 6 hingga 8 Mac 2021.
Antara pelajar UniSZA yang telah pulang ke kampus uniSZA bagi kemasukan fasa pertama pada 6 hingga 8 Mac 2021.
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai 2,370 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dibenarkan pulang ke kampus akan menjalani proses kuarantin selama 10 hari.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, proses kemasukan pelajar berkeperluan ke universiti itu dilakukan secara berperingkat meliputi tiga fasa bermula 6 hingga 8 Mac, 21 hingga 22 Mac dan 2 April 2021.

Beliau berkata, lokasi kuarantin dijalankan di Pusat Pengasingan UniSZA iaitu di Kolej Kediaman Kampus Gong Badak dan Kampus Besut.

"Lokasi ini dijadikan sebagai zon pengawasan untuk memantau tahap kesihatan atau risiko pelajar.

"Langkah ini selaras dengan arahan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19, " katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu katanya, kemasukan 2,370 pelajar kali ini melibatkan semua fakulti dari tiga kampus iaitu di Kampus Gong Badak (1,284) Kampus Perubatan (173) dan Kampus Besut (913) orang.

Katanya, pelajar berkeperluan yang dibenarkan kembali ke kampus dari zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diwajibkan menjalani proses ini.

"Tempoh pengasingan adalah selama 10 hari sebagaimana ditetapkan bermula hari pertama ketibaan pelajar ke kampus.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua pelajar diwajibkan mematuhi peraturan ditetapkan pihak universiti dari masa ke masa sepanjang berada di kampus," katanya.