PKPD di Kampung Serumah, Padawan, Sarawak bermula esok

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah Daerah Kecil Siburan, Bahagian Serian, Sarawak bermula 7 hingga 20 Mac ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga Jumaat, sebanyak 416 ujian saringan telah dijalankan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan kes melibatkan penduduk di lokaliti terbabit.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kita akan laksanakan PKPD di kawasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan akhbar berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak akan ditamatkan pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, keputusan itu diambil setelah pihaknya membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.

"Sehingga kini, KKM melaksanakan sebanyak 2,074 ujian saringan di kawasan tersebut. Daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 1,650 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

"KKM mengesahkan terdapat penurunan kes dan kluster adalah terkawal," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri berkata, semua kes positif telah menerima rawatan dan kontak rapat telah diasingkan dan dipantau.

"Justeru, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di asrama, kilang dan tapak Binaan Central Medicare seperti yang dijadualkan," katanya.