Covid-19: MAIS agih bantuan RM545,500 kepada keluarga terjejas

Ahmad Shahir (tengah) menyerahkan sumbangan fidyah berupa pek makanan asasi kepada salah seorang penerima di Masjid As-Salam, Puchong pada Sabtu.
Ahmad Shahir (tengah) menyerahkan sumbangan fidyah berupa pek makanan asasi kepada salah seorang penerima di Masjid As-Salam, Puchong pada Sabtu.
A
A
A

PUCHONG - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengagihkan wang fidyah sebanyak RM545,500 kepada 5,455 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 melalui pelbagai program turun padang dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan berkenaan diagihkan kepada individu atau keluarga khususnya golongan berpendapatan rendah (B40), peniaga dan penjaja yang terjejas punca pendapatan serta golongan hilang pekerjaan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, program bantuan itu dilaksanakan dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGOi), masjid dan surau di daerah yang terlibat.

“MAIS berharap, bantuan yang disalurkan ini dapat meringankan beban dan kos perbelanjaan seharian terutama kepada mereka yang memerlukan.

“Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan bantuan fidyah kepada 416 keluarga yang terkesan melibatkan wang fidyah sebanyak RM41,600 di Masjid As-Salam Puchong Perdana di sini pada Sabtu.

Katanya, setiap keluarga menerima bantuan fidyah MAIS berupa pek makanan asasi seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan susu.

“Bantuan turut disalurkan kepada 100 penerima yang terkesan di Pertubuhan Penyayang Salam (Salam Relief) dengan agihan wang fidyah sebanyak RM10,000,” katanya.

Artikel Berkaitan: