Polis teruskan pencarian Nik Roshmawati

Nik Roshmawati masih tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi menerusi panggilan telefon.
Nik Roshmawati masih tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi menerusi panggilan telefon.
A
A
A

KAJANG - Polis meminta kerjasama mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan seorang wanita, Nik Roshmawati Nik Rosidin,31, untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebelum ini, pihaknya telah menerima maklumat mengenai kejadian kehilangan itu menerusi laporan dibuat oleh suami mangsa pada 10 Februari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Mohd Zaid berkata, buat masa ini, tiada sebarang perkembangan terbaharu mengenai kejadian itu dan pihaknya masih meneruskan usaha bagi menjejaki wanita terlibat.

"Polis telah membuka Kertas Enkuiri Orang Hilang berhubung kes ini dan setakat ini masih tak ada perkembangan terbaharu.

"Jadi polis meminta mana-mana pihak mempunyai maklumat mengenai wanita berkenaan dapat membuat laporan di balai berhampiran," katanya menerusi balasan kiriman Whatsapp kepada Sinar Harian, pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai seorang lelaki buntu apabila isterinya tidak pulang ke rumah dipercayai hilang selepas keluar menghadiri kenduri kahwin di Johor Bahru pada 10 Februari lalu.

Menurut Mohamad Hisham Awang, 25, pada hari kejadian, isterinya itu telah meninggalkan kediaman mereka di Taman Bukit Mewah, Kajang untuk menghadiri kenduri kahwin rakannya, di sana.

Mohamad Hisham berkata, bagaimanapun, sehingga kini, Nik Roshmawati masih tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi menerusi panggilan telefon.

Artikel Berkaitan:

Malah, dia turut melakukan pelbagai usaha bagi menjejaki isterinya itu termasuk menghubungi kenalan di sekitar Johor Bahru.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami buntu cari isteri hilang