Kerajaan timbang kemasukan penonton ke stadium

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mempertimbangkan kemasukan penonton ke stadium dengan skala kecil secara berperingkat jika kes penularan Covid-19 di negara ini mencatatkan penurunan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata, kehadiran penonton dilihat penting untuk sukan bola sepak yang juga sukan nombor satu negara kembali gemilang.

“Bila keadaan mengizinkan kita akan benarkan kehadiran penonton ke stadium secara berskala kecil atau pun berperingkat-peringkat.

“Ini penting kerana sukan bola sepak yang merupakan sukan nombor satu di negara kita kembali semula gemilang dan penonton dapat lebih terlibat bersama-sama meraikan permainan bola sepak yang menjadi kebanggaan kepada kita semua.

“Sekali lagi saya ucapkan selamt bertanding dengan semangat kesukanan dan mudah-mudahan sukan di Malaysia akan terus bersemarak,” katanya.

Saingan Liga Malaysia (Liga-M) telah ditangguhkan pada 16 Mac 2020 akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, saingan liga bola sepak utama negara itu kemudiannya disambung semula pada 26 Ogos 2020 tanpa kehadiran penonton di stadium sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, pada perutusan berkenaan juga Muhyiddin turut mengucapkan selamat maju kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) yang bakal beraksi dalam saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Piala Sumbangsih), 5 Mac ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang akan terlibat dalam saingan Liga Super dan Liga Premier,” katanya.