Perselisihan UMNO-Bersatu rugikan PN

Mustafa pada sidang akhbar mengenai situasi semasa politik negara yang diadakan di Kuala Terengganu pada Khamis.
Mustafa pada sidang akhbar mengenai situasi semasa politik negara yang diadakan di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Perselisihan antara UMNO dan Bersatu akan merugikan Perikatan Nasional (PN) serta menyebabkan pertembungan tiga penjuru antara PN, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Veteran Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, sekiranya keadaan itu berlaku, kemungkinan besar ketiga-tiga gabungan parti itu juga gagal mendapatkan majoriti mudah dalam pilihan raya umum itu.

Beliau berkata, ia berdasarkan sikap ditunjukkan UMNO pada masa kini yang memberi gambaran wujudnya pertembungan tiga penjuru dalam PRU akan datang.

"Sekiranya ketiga-tiga parti iaitu UMNO, Pas dan Bersatu bersama dalam PN, mereka boleh dapat majoriti mudah dalam PRU akan datang.

"Ini kerana PN menguasai kira-kira 126 kawasan pengundi Melayu malah jika mereka betul-betul bersepadu mereka mungkin boleh dapat 2/3 majoriti.

"Jika sebaliknya yang berlaku, keadaan itu (perpecahan) akan memberi sedikit kelebihan kepada PH," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, di sini pada Khamis.

Mustafa menambah, langkah terbaik perlu dilakukan ialah gabungan parti di dalam PN perlu mempertahankan kerajaan sedia ada.

"UMNO, Bersatu dan Pas perlu bersepakat dan bersepadu sekiranya mereka mahu mempertahankan kerajaan sedia ada dan mendapat majoriti mudah dalam PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Dalam suasana politik sekarang, mereka perlu fikir bagaimana untuk selesaikan kemelut ini supaya dapat membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil," katanya.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedia ada perlu segera mendapatkan mandat baharu daripada rakyat kerana kedudukannya kini tidak stabil dan masih menerima ancaman daripada luar serta dalaman komponen PN sendiri.

"Parlimen penggal ini dilihat paling rapuh, pendirian UMNO sendiri pun tidak 'solid'. Majoriti yang ada sekarang masih samar, ada yang lompat keluar dan ada yang lompat ke dalam.

"Jika sebut mandat baharu mesti ada PRU, namun persoalannya bila. Darurat akan berakhir Ogos dan pada pandangan saya, berdasarkan suasana yang ada besar kemungkinan PRU diadakan selepas habis tempoh darurat pada Ogos nanti," katanya.

Terdahulu, UMNO mengesahkan parti itu menamatkan kerjasama dengan Bersatu sebagai keputusan akhir tanpa sebarang rundingan lanjut.

Difahamkan keputusan itu dibuat berdasarkan hasil mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Janda Baik, Pahang baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu