AirAsia saran selaraskan protokol perjalanan global

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelancaran vaksin di seluruh dunia dan perjalanan udara domestik dilihat akan kembali ke tahap sebelum berlakunya penularan Covid-19, AirAsia dan beberapa pakar penerbangan dan pelancongan terkemuka menyarankan agar diselaraskan protokol perjalanan di peringkat global bagi memacu pemulihan perjalanan udara di peringkat antarabangsa.

Presiden AirAsia Group (Penerbangan) Bo Lingam berkata, Covid-19 telah menjejaskan ramai pihak terutamanya dalam industri pelancongan dan perhotelan.

"Untuk meneruskan aktiviti perjalanan rentas sempadan dengan cekap dan selamat, kita memerlukan rangka kerja yang dipersetujui bersama dan diselaraskan di peringkat global.

“Kini, keperluan perjalanan di rantau ini bukan sahaja kompleks dan tidak seragam, malah gelembung perjalanan juga terhad dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami menyambut baik pas perjalanan tertentu yang diperkenalkan atau masih dalam tahap ujian, tetapi apa yang diperlukan untuk kembali memacu perjalanan udara antarabangsa adalah penyelarasan antara negara,” ujar beliau.

Beliau menambah industri perjalanan dan pelancongan harus bekerjasama melaksanakan satu set protokol dan prosedur tetap untuk para tetamu seperti keperluan ujian dan vaksinasi, pas kesihatan digital yang dipersetujui bersama dan pengembangan gelembung perjalanan merangkumi sektor pelancongan rekreasi.

“Kita harus bekerjasama untuk memacu perjalanan udara dan menyambut penerbangan antarabangsa dalam masa terdekat akan datang, yang juga memberi sumbangan yang amat diperlukan untuk ekonomi di peringkat global,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bo berkata demikian berikutan tinjauan AirAsia baru-baru ini mengenai prosedur dan protokol Covid-19 di negara-negara serantau seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, China dan Australia.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan tersebut mengesahkan bahawa keperluan perjalanan adalah berbeza di seluruh rantau ASEAN, menjadikan ia sukar kepada pelancong untuk memahami dan mengikutinya.

“Protokol perjalanan berbeza di negara-negara lain di rantau ini turut menyulitkan operasi syarikat penerbangan dan pengendali pelancongan. Tanpa protokol perjalanan yang diselaraskan, pengesahan dokumen kesihatan dan perjalanan secara manual akan memakan masa dan mungkin terdedah kepada kesalahan dan penipuan, terutamanya dengan peningkatan penggunaan perakuan kesihatan palsu.

“Selain itu, kita menjangka 40 peratus hingga 50 peratus populasi di rantau ini akan divaksinasi menjelang suku tahun ketiga 2021. Justeru, polisi perjalanan harus diperbaharui secara berkala mengikut keadaan semasa termasuklah kemungkinan untuk membatalkan keperluan kuarantin.

“Contoh yang baik adalah di Filipina di mana mereka baru-baru ini telah menyelaraskan semua keperluan perjalanan di dalam negara dan memansuhkan peraturan yang tidak relevan,” jelas Bo.

Laporan itu juga menyimpulkan bahawa gelembung perjalanan yang kini dilaksanakan di rantau ini hanya terhad kepada pelancong perniagaan dan perjalanan penting sahaja. Pelancong perniagaan tidak dapat melonjakkan industri pelancongan kerana kebanyakan mesyuarat korporat kini dapat dilakukan secara dalam talian.

Cadangan utama adalah untuk mengembangkan gelembung perjalanan kepada pelancong rekreasi secara berperingkat bermula dengan destinasi di zon selamat.

Pengembangan ini dijangka akan memberikan kesan segera berdasarkan permintaan yang tinggi.

Tambahan pula, risiko perjalanan dapat dikurangkan melalui pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan pelbagai langkah keselamatan termasuk perjalanan terkawal mengikut destinasi yang ditetapkan, jadual perjalanan tetap dan aplikasi pengesanan kontak

Dalam pada itu, AirAsia baru-baru ini telah memperkenalkan inovasi terkini Scan2Fly, yang membolehkan para tetamu mengimbas dan memuat naik dokumen perubatan mereka semasa proses daftar masuk dalam talian bagi menentukan kelayakan untuk terbang dalam masa nyata sebelum mereka tiba di lapangan terbang.

Scan2Fly telah dilancarkan sebelum pasport digital diluluskan di peringkat global untuk menyokong matlamat AirAsia menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan tanpa sentuhan.

Scan2Fly juga boleh diintegrasikan dengan mudah di platform lain yang diluluskan di peringkat global dari negara berbeza berkenaan dengan penyelesaian pandemik dan vaksin.

AirAsia juga bakal melancarkan teknologi pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang utama, bermula dengan klia2 di Malaysia pada bulan April sebagai salah satu produk dan perkhidmatan baharu untuk menjadikan penerbangan lebih selamat dan lancar, katanya. - Bernama