X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 26 Oktober 2021

NGO, hospital swasta mahu beli sendiri vaksin Covid-19

Dr Norlela menerima suntikan vaksin Covid-19 di Klinik Kesihatan Seberang Jaya pada Rabu.
A
A

SEBERANG JAYA - Beberapa badan amal dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bersedia untuk mendapatkan sendiri vaksin bagi membantu kerajaan dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Exco Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin berkata, hasrat itu disampaikan pimpinan NGO bagi menyalurkan vaksin berkenaan kepada golongan tertentu terutama warga emas supaya mereka lebih cepat menerima suntikan tersebut.

Menurutnya, dengan bantuan daripada NGO serta kesediaan hospital swasta yang mahu membeli bekalan vaksin-19 itu, ia membantu meningkatkan jumlah penerima vaksin di negeri ini.

"Saya telah menyuarakan perkara ini kepada Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi Mesyuarat Libat Urus Vaksin yang diadakan pada Selasa.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya telah meminta kepada Khairy untuk membenarkan hospital swasta di sini membeli vaksin supaya mereka yang berkemampuan terutama golongan VIP dapat menerima suntikan lebih cepat dengan membayar kepada hospital swasta.

"Mereka yang mampu membayarnya lebih baik kita benarkan mendapatkan suntikan vaksin di hospital swasta berbanding menunggu vaksin percuma mengikut fasa ditetapkan. Cadangan itu disambut baik menteri," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Seberang Jaya di sini pada Rabu.

Dr Norlela berkata, seperti yang ditetapkan kerajaan, setiap vaksin yang mahu dibeli perlu mendapatkan kelulusan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA).

Beliau berkata, Pulau Pinang yang terkenal dengan hab perubatan pastinya menjadi tumpuan ramai terutama golongan berkemampuan untuk mendapatkan suntikan vaksin di hospital swasta.

Menurutnya, dengan adanya sumber vaksin tambahan akan menjamin PICK berjalan lancar tanpa timbul isu potong giliran untuk mendapatkan suntikan.

"Semua penerima vaksin yang disediakan kerajaan perlu mengikut giliran dengan senarai yang telah ditetapkan dan tidak boleh berlaku isu potong giliran. Melainkan mereka mahu mendapatkan suntikan secara berbayar di hospital swasta nanti.

"Setakat ini seramai 1,821 daripada 33,227 petugas barisan hadapan di Pulau Pinang telah menerima suntikan vaksin sejak Ahad, manakala yang lain dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Dr Norlela berkata, dalam mesyuarat sama, kerajaan negeri memaklumkan bahawa supaya semua lebih 200,000 nama warga emas di Pulau Pinang yang berada dalam senarai i-Sejahtera terus dimasukkan ke dalam MySejahtera bagi menerima suntikan vaksin.

"Jadi semua warga emas ini tidak perlu mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin, sebaliknya nama mereka terus berada dalam senarai penerima vaksin seperti mana petugas barisan hadapan.

"Saya juga minta warga emas terutama yang tinggal di pondok dan rumah orang tua-tua menjadi antara penerima awal," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!