Annuar gesa Zahid perjelas hubungan BN, Bersatu

Annuar dan Ahmad Zahid Hamidi
Annuar dan Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menjelaskan secara jujur keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau berpandangan bahawa Ahmad Zahid harus menjelaskan dua keputusan penting parti itu yang disampaikan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Februari lalu melalui sepucuk surat.

"Sebagai ahli kita berhak mengetahui apakah berita itu benar. Jika benar, kenapa ahli tidak diberitahu mengenai tindakan tersebut,” soal Annuar dalam kenyataannya di laman Facebooknya pada Rabu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, kandungan surat itu mengandungi keputusan UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan UMNO hanya akan bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

“Ahli juga perlu tahu, apakah benar dua perkara tersebut sememangnya diputuskan oleh mesyuarat MKT.

“Jika benar tentu ahli mahu tahu, rasional keputusan itu dibuat sekarang, sedangkan pilihan raya (pun) tak tahu bila.

Annuar berkata, banyak persoalan mengenai pendirian UMNO timbul selain turut mempersoalkan keputusan tersebut yang tidak diputuskan melalui perhimpunan agung parti berkenaan.

“Kenapa sudah diputuskan tidak bekerjasama sekarang, sedangkan usul-usul sedemikian perlu dibawa ke Perhimpunan Agong UMNO (PAU) terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

“Mengapa mendahului PAU?” soal Annuar.

Annuar sebelum ini dilihat sebagai pemimpin UMNO yang lantang menegur pendirian parti yang dilihatnya sering berubah-ubah termasuk pendirian presidennya.

Annuar merupakan ahli Parlimen BN yang menjadi menteri lantikan PN dan dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN pada 5 Januari lalu.

Keputusan itu dibuat Ahmad Zahid dalam satu mesyuarat selepas Annuar menegaskan bahawa beliau sedia dipecat daripada parti sekiranya kritikan beliau tidak disenangi pimpinan parti itu.