X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

ADUN Sebatik kekal wakil rakyat bebas sokong GRS: Speaker Sabah

ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya pada Rabu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir kekal seorang ADUN Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kadzim berkata, ini kerana surat letak jawatan ADUN Sebatik dikemukakan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Selasa tidak efektif kerana ditandatangani terlebih dahulu dan tidak menyatakan sebarang tarikh.

Beliau berkata, Hassan A Gani juga telah menghantar kepadanya akuan bersumpah dengan jelas menyatakan tiada niat untuk mengosongkan kerusi DUN di sebalik tindakannya keluar Warisan.

“Setelah saya meneliti kedua-dua dokumen berkenaan, saya mendapati surat peletakan jawatan dikemukakan oleh Warisan kepada saya yang dikatakan ditandatangani oleh YB (Yang Berhormat) Sebatik itu adalah pada sendirinya ‘ineffective’ (tidak efektif).

“Mengikut undang-undang yang kita ada sekarang, apa-apa peletakan jawatan ‘pre-sign’ dan ‘undated’ (atau) tidak bertarikh adalah batal. Justeru, berasaskan kepada itu, saya tidak dapat menerima surat itu sebagai peletakan jawatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Pada Rabu, Hassan A Gani menyerahkan surat akuan bersumpah menyatakan beliau tiada hasrat untuk mengosongkan kerusi DUN Sebatik kepada Kadzim pada jam 11.45 pagi di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri.

Setengah jam selepas itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua pula menyerahkan surat ditandatangani lebih awal ke pejabat Kadzim untuk dipertimbangkan supaya kerusi DUN Sebatik dikosongkan.

Menurut kandungan surat bertarikh 26 Februari 2021 itu, Hassan A Gani menyerah dan memaklumkan meletak jawatan sebagai ADUN serta-merta selaras dengan ikrar kesetiaannya semasa dipilih menjadi calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lepas.

Ditanya bagaimana pihaknya mengetahui surat peletakan jawatan itu ditandatangani lebih awal dan tidak bertarikh, Kadzim berkata, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri sebelum ini dilaporkan berkata semua calon parti itu telah membuat surat perakuan tersebut pada PRN Sabah.

“Kalau kita ambil kira kenyataan daripada Presiden Warisan dan Setiausaha Agungnya, mereka sendiri mengakui semua wakil-wakil, calon-calon (PRN Sabah) mereka telah membuat perakuan, tandatangan. Macam mana pula dari September (tahun lepas) boleh tetapkan 26 Februari untuk letak jawatan. Mana logiknya? Itu (surat) memang 'undated' dan 'pre-signed'," katanya.

Dalam pada itu, Kadzim berkata, terpulang kepada Warisan untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap Hassan A Gani termasuk undang-undang dalam isu tersebut.

"Undang-undang yang ada sekarang surat letak jawatan 'pre-sign' dan 'undated' adalah dokumen yang tidak sah berdasarkan kes-kes undang-undang sebelum ini. Saya tidak akan buat keputusan menyalahi undang-undang," katanya.

Pada 25 Februari, Hassan A Gani memaklumkan beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri Sabah di bawah GRS serta kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Mohd Shafie kemudian pada Isnin memberitahu Warisan sedang meneliti untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Hassan A Gani.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 pada September tahun lepas, Hassan A Gani memenangi kerusi DUN Sebatik atas tiket Warisan dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh 2,665 undi. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN ADUN Sebatik dakwa sumpah setia pada Warisan tidak sah


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!