Malaysia, Brunei sepakat terus perkukuh kerjasama

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein
A
A
A

KUALA LUMPUR - Brunei dan Malaysia hari ini sepakat untuk terus memperkukuh dan meningkatkan hubungan dua hala terutama di era pasca pandemik Covid-19, kata Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata demikian susulan pertemuan dengan Menteri Luar II Brunei, Datuk Seri Setia Awang Erywan Mohd Yusof di Bandar Seri Begawan pada Isnin.

Hishammuddin dalam rangka lawatan kerja rasmi dua hari ke Brunei bermula semalam (Ahad) atas undangan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Hishammuddin turut mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei di Istana Nurul Iman dan mengadakan beberapa mesyuarat dengan Datuk Seri Setia Erywan di Bandar Seri Begawan.

“Perbincangan saya dan Datuk Seri Setia Erywan tertumpu tiga perkara berkaitan vaksin Covid-19, khususnya mengenai pengaturan vaksinasi timbal balik untuk kedua-dua warganegara merangkumi diplomat, pelajar dan ekspatriat dan memastikan akses terhadap bekalan vaksin untuk Malaysia dan Brunei Darussalam.

“Turut dibincangkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi antara kedua-dua negara yang mana langkah ini akan lebih memudahkan pergerakan rakyat di antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Hishammuddin turut mewakili Malaysia mengucapkan tahniah kepada Sultan Hassanal Bolkiah dan Datuk Seri Setia Erywan, dan rakyat Brunei sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-37 minggu lalu.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata hubungan rapat dan istimewa Malaysia dan Brunei turut disokong dan disandarkan atas pelbagai kepentingan bersama, perkongsian nilai serta budaya yang saling berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata mekanisma dua hala sedia ada terutama Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) dan Mesyuarat Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL) merupakan platform penting bagi kedua-dua negara untuk saling bertukar pandangan mengenai isu-isu yang menjadi perhatian bersama serta penyelesaian konkrit.

“Ia antara lain meliputi tinjauan bersama dalam perihal persempadanan darat selain kerjasama lebih lanjut dalam sektor minyak dan gas,” ujar Hishammuddin.

Hishammuddin turut meluangkan masa bertemu pegawai di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

“Menerusi inisiatif Malaysia Diplomatic Equipment Stockpile (MDES), saya menyerahkan pelitup muka, peralatan perlindungan diri (PPE), pensanitasi tangan dan alat pengimbas suhu yang dilengkapi mesin pensanitasi tangan automatik kepada Nadia Azura Mohd Nudri, Kuasa Usaha di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan, Brunei.

“Saya memuji usaha dan dedikasi mereka dalam membantu rakyat Malaysia di Brunei sepanjang musim pandemik selain mengukuhkan lagi hubungan istimewa Malaysia dan Brunei,” katanya. - Bernama