Pemandu mabuk rempuh penunggang motosikal ditahan

Mohamad Noor menunjukkan keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Kampung Padang di sini, awal pagi pada Isnin
Mohamad Noor menunjukkan keadaan kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Kampung Padang di sini, awal pagi pada Isnin
A
A
A

KUANTAN - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Kampung Padang di sini awal pagi pada Isnin.

Suspek berusia 26 tahun ditahan di rumahnya di Kampung Padang beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, suspek dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu merempuh motosikal mangsa dari arah belakang.

Menurutnya, mangsa seorang pekerja kilang berusia 22 tahun terpelanting ke cermin kereta jenis Toyota Avanza yang dipandu suspek sebelum tercampak di atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Motosikal mangsa jenis Honda EX5 yang berada pada bahagian hadapan kenderaan diseret sejauh kira-kira 1.5 kilometer hingga ke hadapan rumah suspek.

"Mayat mangsa ditemui terbaring di atas jalan oleh pengguna jalan raya sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak polis," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Trafik Kuantan di sini petang pada Isnin.

Mohamad Noor berkata, hasil siasatan, suspek berjaya dikesan dan ditahan di rumahnya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil ujian mendapati kadar bacaan alkohol dalam darah suspek lebih 180 miligram berbanding tahap dibenarkan hanya 50 miligram.

Artikel Berkaitan:

"Suspek yang tidak bekerja kini ditahan reman selama empat hari sehingga 4 Mac ini," katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod saman lampau manakala semakan ke atas kenderaan milik bapa lelaki itu juga mempunyai lima saman atas kesalahan pandu laju.

Mohamad Noor berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke rumah kakaknya di Kampung Padang manakala suspek juga dari arah sama.

"Pegawai penyiasat akan melengkapkan segera kertas siasatan kes ini untuk dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi proses pendakwaan," katanya.