'Larang MBS jejak kaki ke AS'

BRENNAN
BRENNAN
A
A
A

WASHINGTON - ‘Jangan tutup mata untuk mengambil tindakan tegas terhadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Bin Salman (MBS)'.

Kenyataan tegas itu dikeluarkan bekas Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Brennan selepas pendedahan laporan yang mengaitkan MBS dengan insiden pembunuhan kejam wartawan terkenal, Jamal Khashoggi di Konsulat Saudi di Istanbul pada Oktober 2018.

Brennan yang memegang jawatan sebagai ketua agensi itu pada Mac 2013 hingga Januari 2017 turut menggesa Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden supaya melarang MBS daripada memasuki negara itu, namun dalam masa yang sama tetap mengekalkan perkongsian strategik dicapai dengan Riyadh.

“Walaupun kerjasama itu sangat penting buat kedua-dua negara, pentadbiran Biden tidak wajar butakan mata tentang apa yang telah pemimpin Saudi lakukan termasuk MBS kerana ia membabitkan nilai dan standard tertentu hak asasi manusia.

“Saya amat berharap Presiden ke-46 AS akan bertindak tegas dan tidak membenarkan MBS menjejakkan kaki ke negara ini, tidak kira atas lawatan rasmi atau peribadi,” ujarnya sambil menambah pegawai pentadbiran Biden juga disarankan tidak mengadakan sebarang mesyuarat peringkat tertinggi dengan putera raja tersebut.

Pada Sabtu, Biden mengesahkan pentadbiran beliau akan membuat pengumuman tentang isu Saudi pada Isnin walaupun kebanyakan negara Arab termasuk Bahrain, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menolak laporan Washington mengenai pembunuhan Khashoggi yang disifatkan sebagai pelanggaran kedaulatan Riyadh. - Agensi

Artikel Berkaitan: