Kadar dividen KWSP lebih lima peratus adil kepada pencarum

Gambar kecil: Mohd Effendy
Gambar kecil: Mohd Effendy
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kadar dividen yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2020 adalah sesuatu yang sangat baik dan adil kepada pencarum.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, meskipun kadar yang diumumkan itu bukanlah lebih baik daripada tahun sebelumnya, tetapi ia merupakan sesuatu yang positif dengan mengambil kira keadaan semasa.

Beliau berkata, KWSP berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kekangan dalam menghadapi keadaan ekonomi dunia dan negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 sejak tahun lepas.

“Bagi MTUC, pengumuman dividen yang mengatasi lima peratus itu secara moralnya agak baik walaupun berkurangan daripada tahun lepas untuk konvensional dan juga syariah. Tapi bagi kami, ia satu perkembangan yang positif.

“Ia merupakan pengumuman yang adil kepada semua pencarum kerana mengambil kira keadaan tahun lepas iaitu seperti mana kita semua tahu, kita menghadapi satu keadaan luar jangka wabak Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Sabtu, KWSP yang mencatatkan prestasi kukuh daripada aspek operasi dan kewangan bagi tahun 2020 mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Dana persaraan itu juga mengisytiharkan dividen sebanyak 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Sementara itu, Mohd Effendy berkata, MTUC turut merakamkan penghargaan kepada KWSP atas kejayaannya terus memperkembangkan aset pelaburan yang dilaporkan meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, perkembangan tersebut memberi gambaran bahawa KWSP mengamalkan disiplin pengurusan yang sangat baik.

“Kita jangkakan sekiranya ekonomi kita kembali pulih seperti biasa di samping pelaburan sedia ada yang dilakukan KWSP di luar negara, Insya-ALLAH pencarum akan dapat dividen yang lebih baik lagi bagi tahun 2021,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Effendy berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan KWSP yang melancarkan dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah pada Jumaat.

Sebagai wakil pekerja, beliau berkata, MTUC berasa dukacita kerana pihaknya langsung tidak dipanggil untuk berbincang atau dimaklumkan mengenai pelaburan patuh syariah pertama dan terbesar di dunia yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.4 bilion.

Media tempatan sebelum ini melaporkan bahawa menerusi peruntukan tersebut, KWSP telah menubuhkan tiga dana SMA bernilai RM810 juta setiap satu yang akan dikendalikan oleh tiga Pengurus Dana Ekuiti Persendirian iaitu BlackRock, HarbourVest Partners LLC dan Partners Group AG.

Menurut laporan tersebut, ketiga-tiga syarikat tersebut diberikan mandat global yang membolehkan mereka fokus kepada strategi pelaburan langsung dan pelaburan bersama ke dalam urus niaga pertumbuhan dan pembelian.