'Ambil Apa Yang Perlu, Sumbang Apa Yang Mampu'

Sebahagian daripada bekalan makanan harian yang disediakan di bawah inisiatif Bank Makanan Rembau.
Sebahagian daripada bekalan makanan harian yang disediakan di bawah inisiatif Bank Makanan Rembau.
A
A
A

KAWAN Belalang yang baru pulang dari Rembau, Negeri Sembilan semalam bercerita panjang tentang satu inisiatif yang diusahakan oleh YB Khairy Jamaluddin. Ia dinamakan Infak Tanpa Tunai dan Bank Makanan Rembau.

Di bawah program ini, sesiapa sahaja yang memerlukan makanan boleh datang dan ambil makanan di bank makanan tersebut yang diwujudkan di sembilan buah masjid di kawasan Parlimen Rembau.

Bagi yang mahu menderma pula, ia tidak lagi perlu dilakukan secara tunai. Sebaliknya penderma boleh berbuat demikian dengan hanya mengimbas kod QR yang disediakan di rak makanan masjid yang mengambil bahagian menerusi aplikasi e-dompet Touch ‘n Go. Inisiatif ini dinamakan Infak Tanpa Tunai.

Orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian terus kepada pihak masjid.

Menurut kawan Belalang itu, sembilan buah masjid yang mengambil bahagian dalam program ini ialah Masjid Seberang Batu Hampar, Masjid Kariah Gadong, Kompleks Islam Rantau, Masjid Batu 17 Chembong, Masjid Kariah Kota, Masjid Bandar Baru Senawang, Masjid Taman Angsamas, Masjid Kuala Sawah dan Masjid Sheikh Haji Ahmad Bandar Seri Sendayan.

Belalang nak ucapkan syabas dan tahniah kepada YB KJ di atas inisiatif barunya ini yang dilancarkan pada Jumaat lalu.

Beliau telah memilih hari yang baik iaitu penghulu segala hari untuk berbuat kebajikan. Dan beliau juga telah memperkasakan peranan masjid melalui inisiatif infak. Jika tidak dibuat di masjid, di mana lagi. Ia adalah rumah ALLAH.

YB KJ juga telah memilih tema yang cantik dan mudah diingati - “Ambil Apa Yang Perlu, Sumbang Apa Yang Mampu.”

Artikel Berkaitan:

Mudah-mudahan tema ini membawa berkat dan menyemarakkan lagi budaya dan amalan jariah dalam kalangan kita serta meringankan bebanan mereka yang berada dalam kesusahan dan keperitan hidup akibat pandemik Covid-19.

Maklum sajalah, ramai yang hilang pekerjaan kerana ekonomi merudum dan pelbagai jenis industri gulung tikar. Kita dapat merasainya di mana-mana sahaja.

Belalang - Tahu ramai lagi seperti YB KJ menggerakkan inisiatif bank makanan di seluruh negara.