X

Kindly register in order to view this article
!

ADUN Senggarang dari Amanah sah sertai PKR

Khairuddin A Rahim
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim dari Parti Amanah Negara (Amanah) mengesahkan beliau sudah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu, Khairuddin berkata, permohonan beliau untuk menyertai PKR dihantar pada September tahun lalu dan diterima pada bulan berikutnya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu menghebohkan keputusannya itu demi menjaga hubungan antara parti dalam Pakatan Harapan (PH).

"Saya hadiri program PKR pada pagi Sabtu di Batu Pahat, kemudian ada yang mengambil gambar saya mengenakan baju PKR. Gambar itu kemudian tular. Jadi saya sahkan di sini memang saya sudah sertai PKR.

"Saya tidak pilih Perikatan Nasional (PN) itu sudah cukup baik. Paling penting saya tetap pilih PH," katanya.

Khairuddin turut menyatakan bahawa faktor beliau memilih bukan disebabkan mahu bertanding di kerusi Parlimen Batu Pahat pada pilihan raya umum akan datang, bagaimanapun beliau tidak menolak jika diberi peluang.

"Kalau ada peluang, saya bertanding. Tiada peluang saya hendak buat macam mana," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang terletak di dalam kawasan Parlimen Batu Pahat yang disandang Datuk Rashid Hasnon atas tiket PKR sebelum beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari 2020.

Sementara itu, dua lagi ADUN Johor dari Amanah yang didakwa menyertai PKR sebagaimana dilaporkan sebuah portal pada Sabtu, gagal dihubungi.

Dua ADUN tersebut ialah Dr Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!