'Ingat gold bar rupanya kiub ayam'

Status dan gambar yang dimuat naik di Facebook Junariah menarik perhatian ramai.
Status dan gambar yang dimuat naik di Facebook Junariah menarik perhatian ramai.
A
A
A

KULIM - Seorang suri rumah teruja ketika menerima dua kotak barang kemas pemberian suami namun terkejut sebaik melihat 'gold bar' atau 'jongkong emas' tersebut ialah kiub ayam disaluti bungkusan keemasan.

Junariah Ab Rahman, 42, mengakui suaminya, Mohd Kamal Sumsudin gemar bergurau tetapi tidak menyangka perkara itu akan berlaku.

"Memang tak sangka pun, suami gurau-gurau biasa sahaja tapi bila datang akalnya... masa tengok kotak barang kemas sudah perasan ia kotak lama dalam simpanan saya.

"Tapi bila tengok isi dalam kotak, ternampak 'gold bar' itu sebenarnya adalah kiub ayam, memang saya tergelak. Saya faham benar dengan perangai kaki menyakatnya. Ada sahaja akal nak kenakan saya, anak-anak atau yang rapat dengannya. Kalau lihat secara fizikal, ramai kata suami seorang pendiam," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.