Lelaki cuba sogok polis RM5,000 ditahan

Seorang lelaki ditahan kerana memberi rasuah kepada polis. (Gambar kecil: Baharudin Abdullah)
Seorang lelaki ditahan kerana memberi rasuah kepada polis. (Gambar kecil: Baharudin Abdullah)
A
A
A

DUNGUN - Tindakan seorang lelaki cuba menyogok pegawai polis sebanyak RM5,000 supaya membebaskannya daripada disiasat membawa padah apabila dia ditahan atas tuduhan cuba merasuah, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, pegawai dan anggota polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan pentadbiran Balai Polis Paka, di sini menahan lelaki berusia 40 tahun itu yang dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah bank di Pusat Niaga, Paka, di sini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pegawai bersama tiga anggota polis terbabit meminta kad pengenalan suspek dan pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu masih dikehendaki berkait laporan di bawah Akta Kesalahan Dadah (ADB).

Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Paka, di sini untuk tindakan lanjut kira-kira jam 12.15 tengah hari.

"Bagaimanapun, ketika di bilik siasatan, suspek menawarkan kepada pegawai berkenaan wang sebanyak RM5,000 supaya dia tidak ditangkap.

"Suspek mengeluarkan wang tunai RM2,300 konon sebagai wang pendahuluan dan berjanji selebihnya akan diserahkan selepas dia dibebaskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurut Baharudin, pegawai terlibat memberi amaran tegas kepada suspek sebanyak empat kali tetapi lelaki itu terus menghulurkan wang berkenaan.

"Kedegilan suspek menyebabkan dia ditahan kerana memberi rasuah kepada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baharudin berkata, polis merampas 23 keping wang RM100 serta dompet warna hitam tertulis 'Harley Davidson' dan suspek ditahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Laporan kes tersebut dirujuk ke SPRM cawangan Kemaman untuk tindakan lanjut," kata Baharudin.