CBP sumbang 300 tablet bantu pelajar B40

MOHD NOR
MOHD NOR
A
A
A

SHAH ALAM - Co-opbank Pertama Berhad (CBP) memperuntukkan dana berjumlah RM180,000 bagi membiayai 300 unit tablet kepada pelajar-pelajar B40 untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dari 87 sekolah angkat CBP di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Mohd Nor Abd Razak berkata, sumbangan berkenaan bertujuan membantu pelajar mengikuti pembelajaran kelas secara dalam talian memandangkan ramai pelajar datang daripada keluarga kurang berkemampuan serta tidak dapat mengikuti pembelajaran kerana ketiadaan peranti tersebut.

“CBP amat peka dengan permasalahan dialami oleh keluarga yang terkesan kerana kurang berkemampuan untuk menyediakan peranti yang sesuai untuk mengikuti proses pembelajaran dalam talian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, kami terpanggil untuk memberikan bantuan kerana melihat keperluan dan kepentingan peranti berkenaan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, walaupun sekolah akan kembali dibuka pada awal bulan Mac, pelajar-pelajar boleh menggunakan peranti tersebut sebagai peralatan bantuan dalam pembelajaran kerana mereka masih lagi boleh mempelajari kandungan pendidikan secara dalam talian sama ada yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun kandungan lain yang bermanfaat.

“CBP akan sentiasa memastikan kebajikan dan keperluan pelajar-pelajar sekolah, terutamanya sekolah angkat CBP dipelihara kerana pelajar-pelajar sekolah berkenaan adalah modal insan yang harus dijaga,” ujarnya.

Ketika ini, CBP memiliki sebanyak 87 buah sekolah angkat di seluruh negara yang dipilih berdasarkan kepada pencapaian cemerlang pelajar-pelajar sekolah berkenaan dalam pelbagai aspek pertandingan sukan dan kemahiran, sama ada di peringkat negeri, kebangsaan serta antarabangsa.

Artikel Berkaitan: