Dua didakwa tipu pembelian RMMJ

Saharudin dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, hari ini.
Saharudin dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peniaga goreng pisang antara dua individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas lapan pertuduhan penipuan pembelian Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Nathysanur Ali, 30 dan Noryazid Said, 45, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.

Mengikut pendakwaan, Nathysanur dan Noryazid dituduh bersama-sama menipu lapan individu dengan memperdaya mereka menyerahkan wang untuk membeli RMMJ berjumlah RM110,430.

Kedua-dua tertuduh juga memperdaya kesemua mangsa dengan memaklumkan akan mendapatkan rumah tersebut menerusi Kuota Menegak Kerajaan (KMK) selain mendorong kesemua mereka menyerahkan wang secara berperingkat.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di nombor 25, Jalan Selayang 18, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang antara Januari dan Disember 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca dengan Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, Noryazid turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pertuduhan sama melibatkan tiga individu termasuk Nathysanur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 2013, 2017 dan Ogos 2018 di alamat yang sama dengan pertuduhan sebelum ini dan sebuah restoran makanan segera di Bandar Seri Alam.

Artikel Berkaitan:

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Muhamad dan Nathysanur diwakili peguam, Farhan Maarof dan Noryazid diwakili peguam, Hussin Othman.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM19,000 setiap seorang ke atas semua pertuduhan dan menetapkan kes disebut semula 4 Mac ini.

Selain itu, mahkamah juga membenarkan ikat jamin RM6,000 lagi untuk tiga pertuduhan dihadapi Noryazid.