Penternak rugi ternakan dibaham harimau boleh mohon bantuan

Antara lembu yang mati dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu. Gambar kecil: Azman
Antara lembu yang mati dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu. Gambar kecil: Azman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penternak yang terjejas akibat haiwan ternakan mati diserang binatang buas boleh memohon bantuan menerusi Tabung Bencana Pertanian Negeri.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, serangan haiwan liar terhadap hasil tanaman atau ternakan termasuk dalam kategori bencana di bawah Tabung Bencana Pertanian Terengganu.

Beliau berkata, penternak terlibat perlu membuat laporan polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) terlebih dahulu sebelum pihak veterinar melakukan taksiran bagi anggaran kerugian dan diproses dalam mesyuarat jawatankuasa tabung bencana pertanian negeri.

"Kita akan adakan mesyuarat bagi tahun 2021 dalam masa terdekat dan bantuan akan disalurkan terus ke dalam akaun penerima selepas semua urusan termasuk taksiran kerugian disahkan dalam mesyuarat tersebut.

"Biasanya sumbangan sebanyak RM500 diberikan untuk setiap haiwan ternakan yang mati," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada kejadian 14 Februari lalu, seorang penternak lembu di Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu mendakwa mengalami kerugian lebih RM3,500 selepas dua ekor lembu miliknya dibaham harimau.

Katanya, ia bukan kejadian pertama berlaku kerana lebih 20 ekor ternakannya telah dibaham haiwan buas itu sejak 10 tahun lalu.

Dalam kejadian berasingan pada 10 Disember 2020, media melaporkan lebih 25 ekor lembu yang diternak 30 peneroka di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya, Dungun mati dibaham harimau belang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penternak bimbang harimau serang lembu

20 ekor lembu dibaham harimau

Dua lagi lembu dibaham pak belang