Kes video murtadkan wanita dalam siasatan, tindakan polis: Zulkifli

Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memandang serius video tular yang memaparkan pengakuan seorang lelaki bukan Muslim yang telah memurtadkan seorang wanita Muslimah bukan warganegara Malaysia.

Beliau difahamkan perkara tersebut masih dalam siasatan dan tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan meminta orang ramai memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

Katanya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah terjamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, manakala Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kebebasan beragama untuk penganut agama Islam dan agama-agama lain di Malaysia, termasuklah hak untuk menganutinya serta mengamalkannya.

“Namun, penyebaran agama lain kepada umat Islam adalah tertakluk kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Fasal ini memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mengawal penyebaran agama lain kepada orang Islam.

“Ini termasuk mengekang sebarang cubaan untuk memujuk, membawa atau mengajak orang Islam keluar dari agamanya sama ada melalui dakyah, perkahwinan atau apa jua cara sekalipun,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, hampir semua negeri mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam, yang digubal berdasarkan punca kuasa pada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan manakala bagi Wilayah Persekutuan, akta tersebut dalam proses akhir penggubalan.

Katanya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Unit Konsultasi Akidah sentiasa berperanan sebagai tempat khidmat nasihat, bimbingan dan istitabah kepada umat Islam yang berhadapan dengan masalah tersebut.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberikan komitmen bagi memperkukuh kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam menangani isu pengukuhan akidah.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan memandang ringan sebarang usaha yang boleh mengeruhkan hubungan antara agama khususnya melibatkan sensitiviti agama-agama di Malaysia.

“Pada masa sama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan bersedia dalam usaha memperkasa dakwah dan tarbiah kepada umat Islam khususnya dari sudut akidah dan kerohanian melalui pendekatan yang menyeluruh dan selari dengan Maqasid Syariah,” katanya.

Beliau yang juga pengerusi bersama Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Antara Agama (HARMONI) yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara berkata, usaha untuk memastikan sebarang polemik berkaitan agama akan diselesaikan dengan baik dan berhemah.

Zulkifli turut menyeru agar semua pihak dapat menghormati antara satu sama lain, serta tidak bertindak menyalahi lunas perundangan, terutama dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan hubungan antara kaum.