Martabat silat, lahir juara dunia

Afzan (kanan) bersama pengurusan tertinggi Pesaka Pahang ketika majlis pelancaran Logo Festival, baru baru ini.
Afzan (kanan) bersama pengurusan tertinggi Pesaka Pahang ketika majlis pelancaran Logo Festival, baru baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Pelbagai program dan kejohanan silat diadakan di negeri ini sebagai langkah Malaysia memilih pesilat muda atau pelapis baharu yang berpotensi untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.

Exco Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka), Nur Afzan Abu Kassim berkata, program terdekat adalah Kejohanan Silat Kebangsaan kali ke 19 yang akan berlangsung di negeri ini bermula 26 Mac nanti.

Menurutnya, bagi program tersebut Pesaka Pahang akan bertindak selaku tuan rumah, optimis melahirkan juara dunia dan pesilat negara.

Menyusul selepas itu adalah Festival Silat Nusantara 2019, juga diadakan di negeri Pahang anjuran bersama Pesaka Pahang dan kerajaan negeri.

"Festival akan diadakan pada 18 hingga 21 April 2019 di Megamall Kuantan turut melibatkan negara Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia.

"Setakat ini seramai 1000 pesilat telah membuat pengesahan penyertaan termasuk 16 peserta dari Pesaka Pahang dan peserta luar negara," katanya kepada Sinar Harian.

Antara acara yang telah disusun atur ialah kejuaraan silat seni asli nusantara; demonstrasi unik Perguruan Silat Nusantara dan persembahan gendang dan silat tanpa henti 36 jam kebangsaan 2019 untuk Malaysia Book Off Record.

Pameran Mistik Alam Melayu Nusantara dan Pertandingan Seni Tanjak Nusantara dijangka menarik minat pengunjung dalam dan luar negara kerana acara yang sukar dilihat secara dekat.

Artikel Berkaitan:

Afzan yang juga Pengerusi Demonstrasi Unik Perguruan Silat Nusantara berkata, rakyat Pahang amat bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri festival silat nusantara di negeri sendiri di mana festival ini telah 15 tahun tidak dianjurkan sejak 2004.

"Kita ingin membuka mata masyarakat bahawa belajar ilmu dunia persilatan bukan hanya untuk mempertahankan diri. Sebenarnya banyak lagi kebaikannya antaranya mengawal minda untuk menghasilkan sesuatu luar biasa dari kotak pemikiran biasa.

"Semua ini akan dapat dilihat dengan mata sendiri di dalam demonstrasi unik yang melibatkan 16 perguruan dalam dan luar negara. Semua berjalan dengan lancar. InsyaALLAH pada 14 hingga 18 Februari ini akan diadakan mesyuarat pelarasan di Batam, Indonesia bersama Persatuan Silat Sempadan Kepulauan Riau turut bersama Menteri Besar Pahang," katanya.

Pelancaran logo festival telah diadakan di hotel Rosa Pasedena Brichang Cameron Highland, Januari lalu oleh Yang Dipertua Pesaka Pahang, Datuk Sohaimi Mohamed Shah.

Pesaka Pahang telah melahirkan ramai pesilat berbakat antaranya Mohd Al Jufferi Jamari (Kuantan) yang merupakan pesilat negara dan pernah dinobatkan olahragawan negara serta Mohd Taqiyuddin Hamid, pesilat negara dari Maran.