Pemuda PH Sabah gesa Parlimen bersidang
KOTA KINABALU - Pemuda Pakatan Harapan (PH) Sabah menggesa supaya Parlimen dibenarkan bersidang seperti biasa dalam usaha negara untuk bebas daripada wabak Covid-19.
Setiausahanya, Razeef Rakimin berkata, menerusi sidang Parlimen juga dapat merangka pelan bagi membangunkan ekonomi yang jatuh merundum selain mengelak berlakunya salah guna kuasa dalam pentadbiran.
"Umum mengetahui beberapa negeri telah kembali kepada pelaksanaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan hampir semua sektor ekonomi telah kembali beroperasi seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat.
"Kami beranggapan tidak ada keperluan untuk menangguhkan sidang Parlimen. Jika sebelum ini Parlimen dibenarkan bersidang walaupun beberapa ahli Parlimen yang menjalani kuarantin dibenarkan hadir dengan memakai pakaian kelengkapan perlindungan diri (PPE), mengapa hari ini ia menjadi isu?
"Adakah mereka hanya dibenarkan agar kerajaan berjaya dalam undi Belanjawan 2021 sahaja?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Razeef yang juga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Sabah berkata, berbeza dengan negara luar, kebanyakan sektor ekonomi ditutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19 namun Parlimen bersidang seperti biasa.
"Muhyiddin (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) perlu malu dengan tindakan beliau yang dilihat seperti pengecut.
"Adalah amat memalukan apabila negara ditegur oleh beberapa ahli Parlimen negara luar yang melihat berlakunya pencabulan sistem demokrasi di negara ini.
"Kami mendesak agar Parlimen dibenarkan bersidang seperti biasa," katanya.