Pasangan kekasih ditahan halang tugas polis

ARIFAI TARAWE
ARIFAI TARAWE
A
A
A

GOMBAK - Tindakan sepasang kekasih yang menghalang dan mengganggu tugas polis ketika menjalankan Op Bersepadu Cegah Jenayah dan Op Mabuk di Batu 15, Jalan Kuala Lumpur – Ipoh di sini membawa padah apabila kedua-duanya diberkas pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku apabila anggota polis bertugas menahan kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek dilihat mencurigakan.

"Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, anggota polis bertugas telah mengarahkan suspek menghentikan kenderaannya di bahu jalan bagi tujuan pemeriksaan.

"Apabila anggota menghampiri, suspek terus memecut dan merempuh Sekatan Jalan Raya (SJR) selain hampir melanggar dua anggota polis bertugas untuk melarikan diri," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, polis kemudiannya mengejar kenderaan dipandu suspek sejauh lebih kurang satu kilometer sebelum berjaya memintasnya.

"Ketika proses tangkapan dilakukan, kedua-dua suspek enggan memberi kerjasama malah bertindak merakam video dan mengeluarkan kata-kata tidak sopan ke atas anggota polis yang bertugas.

"Hasil ujian pernafasan ke atas suspek yang memandu mendapati dia berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek telah ditahan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, motif suspek cuba melarikan diri daripada SJR kerana berada di bawah pengaruh alkohol.