X

Kindly register in order to view this article
!

Hannah Yeoh, Syed Azmi gesa 10 langkah tangani gejala 'sugar baby'

Hannah dan Syed Azmi menggesa kerajaan melaksanakan 10 langkah bagi menangani gejala 'sugar baby'.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh menggesa kerajaan melaksanakan 10 langkah termasuk menyekat aplikasi sosial melanggar undang-undang negara bagi menangani gejala 'sugar baby' yang hangat dibincangkan kerajaan Persekutuan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan bersama Penasihat Mahkamah bagi Kanak-kanak, Mahkamah Kuala Lumpur yang juga Aktivis Kanak-Kanak/Sosial, Syed Azmi Alhabshi, beliau memberitahu, terdapat kanak-kanak dan remaja yang bergelut dengan krisis identiti dan mengalami kesukaran mencari tujuan kehidupan.

Menurutnya, itu adalah realiti serta cabaran dihadapi golongan tersebut dan selagi semua pihak menafikan hakikat itu, selagi itulah semua seolah-olah meraba-raba dalam kegelapan.

Jelasnya, semua pihak harus fokus membina semula nilai murni dan budaya moral yang sihat bagi generasi muda dengan cara membantu bukannya menghakimi golongan tersebut.

"Kami merujuk kepada pelbagai laporan berita mengenai gejala ‘sugar baby’ yang sedang hangat dibincangkan oleh kerajaan Persekutuan.

"Kami menyarankan supaya kerajaan menangani gejala sosial seperti ini dengan lebih berkesan secara mencegah kerana ini lebih baik daripada merawat simptom. Amalan agama tanpa penghayatan tidak mungkin memberikan hasil yang kita inginkan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Menurut Ahli Parlimen Segambut dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu, kerajaan perlu mewujudkan Kementerian Kanak-Kanak yang mempunyai peruntukan khas dan sumber tetap untuk melindungi kanak-kanak.

Ia termasuk penyediaan talian bantuan khas yang merangkumi pelbagai bahasa untuk kanak-kanak dan pemerkasaan infrastruktur untuk kanak-kanak kurang upaya seperti ahli terapi yang mencukupi.

Kerajaan juga digesa segera menambah Pelindung Kanak-Kanak serta Pembantu Pelindung Kanak-Kanak yang terlatih supaya Akta Kanak-Kanak 2001 boleh dikuatkuasakan dengan lebih efektif terutamanya dalam aspek perlindungan.

"Sistem perundangan sedia ada dalam jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak seperti mewajibkan tahanan reman selama tiga hari kepada orang kena tuduh (OKT) perlu ditambah baik bagi mententeramkan mangsa.

"Pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur perlu dipantau supaya 58 program yang melibatkan 61 agensi kerajaan boleh berjalan dengan lancar dan menepati jangka masa sehingga tahun 2025," katanya.

Langkah itu antara lain menggesa kajian semula pendidikan seks di sekolah dan membuat penambahbaikan seperti melibatkan ibu bapa kerana statistik menunjukkan penglibatan kanak-kanak dalam kegiatan ini berlaku seawal 12 tahun.

Kursus perkahwinan juga perlu diperkasakan dan membantu ibu bapa menjadi lebih efektif dalam komunikasi dengan anak-anak.

"Jangan berikan pelbagai alasan untuk pesalah jenayah seksual seperti tabiat menyalahkan mangsa (victim blaming) dan pemakaian mereka.

"Keluarga yang terkesan disebabkan penceraian, mempunyai anak luar nikah dan perkahwinan tidak berdaftar terutamanya bagi keluarga yang tidak mempunyai sokongan kewangan juga perlu dibantu," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menggesa sindiket berkaitan dan amalan rasuah melibatkan pihak berkuasa seperti penjualan methamphetamine dan pemerdagangan kanak-kanak atau wanita dihapuskan.

"Kerajaan juga digesa menyediakan program pemulihan dan kaunseling yang menyeluruh serta mudah dicapai bagi membantu kanak-kanak yang didera atau trauma," katanya lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!