Isu sugar daddy: Semak dahulu kesahihan sumber berita

Gambar kecil: Wan Mohd Husni
Gambar kecil: Wan Mohd Husni
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa masyarakat supaya lebih bijak menerima sebarang berita tular terutama di media sosial.

Ketua Penerangannya, Wan Mohd Husni Abdullah berkata, fakta dan sumber berita yang diterima perlu disemak terlebih dahulu.

Menurutnya, MBM mengambil perhatian terhadap isu sugar daddy baru-baru ini yang tular 10 institusi pengajian tinggi (IPT) kononnya paling ramai sugar baby.

“Kita terpanggil untuk bersuara mengenai isu ini bukan kerana kebimbangan terhadap keruntuhan akhlak gadis di IPT tetapi bimbang terhadap penerimaan informasi secara bulat-bulat oleh masyarakat.

“Dapat diperhatikan banyak pihak terbabit terus melenting sebaik sahaja informasi tersebut tular,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, informasi dikeluarkan aplikasi suai kenal, ‘Sugarbook’ tidak mempunyai dokumen sokongan dan sumber yang boleh dipercayai.

“Data tersebut tidak kukuh malah boleh ditambah baik oleh sesiapa dan pada bila-bila masa. Ia mungkin satu taktik untuk mempopularkan aplikasi itu atau menaikkan harga penyertaan dalam melanggan aplikasi.

“MBM juga kerap kali menyarankan supaya belia Malaysia menjadi ‘fact checker’ atas membabitkan berita yang tular supaya masyarakat dapat menerima kesahihannya dan tidak memudaratkan lagi keadaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Mohd Husni turut menggesa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau aplikasi berkenaan.

Katanya, aplikasi berkenaan perlu disekat sekiranya ia mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

“MBM menyarankan agar masyarakat berhati-hati dengan kesahihan fakta kerana ia boleh merosakkan imej institusi.

“Lebih elok kiranya kita berbangga dengan pencapaian dan kualiti graduan dihasilkan institusi daripada kita berbangga dengan berapa ramai gadis yang berjaya dikeluarkan sebagai sugar babbies,” katanya.

Katanya, belia perlu mengambil peluang menyertai latihan kemahiran atau dana perniagaan yang ditawarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) - MBM melalui portal ebelia.iyres.gov.my.

“MBM juga menyeru pemimpin belia terus berperanan membimbing belia dengan kaedah pembangunan belia positif (PYD) melalui kegiatan berpersatuan serta membantu mereka yang berhadapan masalah mencari jalan keluar dan solusi," katanya.