PKP: 877 individu ditahan ingkar SOP

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal menjadi kesalahan tertinggi yang direkodkan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan sejumlah 253 individu ditahan pada Sabtu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan lain direkodkan ialah merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran membabitkan 177 individu, aktiviti pusat hiburan (101), tidak memakai pelitup muka (98), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain (166).

“Seramai 877 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam (Sabtu). Daripada jumlah itu, 806 dikenakan kompaun manakala 71 direman,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian PKP pada Ahad.

Pada masa sama, beliau berkata, seramai 45 pendatang asing tanpa izin serta lima tekong ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala empat kenderaan darat dirampas.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 494 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Sabtu dan kesemua mereka dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 73 operasi sanitasi dilaksanakan meliputi 31 zon merah, enam zon jingga dan lima zon kuning di seluruh negara.

Beliau berkata, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong pula mendapati, bekalan makanan berada dalam keadaan stabil serta mencukupi. - Bernama

Artikel Berkaitan: