Wajah baharu Proton Iriz

A
A

Tampil ciri dan reka bentuk baharu

IRIZ dilancarkan pertama kali pada tahun 2014, memang sudah sampai masanya untuk Proton Holdings Berhad (Proton) menambah baik model ini agar dapat menarik minat pengguna tempatan. Justeru, Proton hatchback segmen B, Proton Iriz telah diberikan nafas baharu dan gambar-gambar rasmi Proton Iriz facelift ini telah pun ditularkan baru-baru ini.

Berdasarkan beberapa foto yang didedahkan pihak Proton, jelas kelihatan beberapa perubahan dari segi rupa luaran dan dalaman Iriz facelift. Antara perubahan ketara yang dapat dilihat adalah dari segi bentuk kemasan gril depan diilhamkan daripada Ethereal Bow yang diperkenalkan kali pertama pada model X70, manakala gril radiator menggunakan paten Infinity Weave yang bakal menjadi signatur baharu Proton.

Rekaan kemas

Gril radiator direka yang lebih rendah dan lampu LED siang hari yang licin (DRL) menambah sentuhan yang canggih kepada reka bentuk keseluruhan.

Secara peribadinya, penulis sukakan rekaan belakang yang nampak cukup kemas. Dapat dilihat dengan jelas bahawa ia dibahagikan kepada dua warna, iaitu hitam dan biru. Manakala emblem Proton ditulis melintang dengan jarak agak luas.

Seperti yang dapat dilihat, Iriz yang 'disegarkan' ini menerima lampu hadapan tirus diambil daripada kembar sedannya iaitu Persona. Ia turut diberikan gril baharu yang menurut Proton, ‘sayap’ krom yang kelihatan bersambung dengan ‘kening’ krom pada gril model ini adalah direka daripada inspirasi busur panah, sama seperti pada SUV X70.

Identiti korporat

Di bahagian belakang, Proton Iriz mendapat ciri identiti korporat baharu daripada nama Proton yang dinyatakan di tailgate hiasan di tempat logo yang digunakan sebelum ini. Impak visual kini kelihatan lebih luas, kesan yang diperkuat oleh bampar belakang baharu.

Sama seperti di bahagian depan, Rekaan bumper belakang juga turut diubah bagi memberikan impresif kereta yang lebih lebar dan sporty, manakala ruang arca roda pula menerima rekaan rim serba baharu.

Penggayaan terakhir ala sporty dengan penampilan rim aloi berbentuk bilah pemutar bersaiz 14 inci.

Siri arahan suara

Setelah pelancaran Proton X70, Proton Iriz facelift ini merupakan model pertama Proton yang menerima ciri arahan suara, dibangunkan oleh Proton dan ECARX, juga dapat dilihat ia kini diberikan skrin infotaimen lebih besar menjadikan Iriz sebagai yang pertama seumpamanya dalam kelas hatchback segmen-B.

Kerusi tempat duduk hadapan dan belakang dengan corak jalur Martini Racing masih kekal, sementara roda stereng dibalut kulit dengan serlahan benang merah, manakala tombol gear direka semula tampil dengan rupa seakan tombol daripada Proton X70.

Proton juga menyatakan bahawa lebih perincian akan didedahkan selepas ini, sebelum ia dilancarkan secara rasmi. Untuk model sedia ada, Iriz dijana dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm dan juga 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, dan lima-kelajuan manual hanya untuk model 1.3 liter.