Cawan kertas melekat di bibir gara-gara gam kuat

Martin (kanan) terpaksa mendapatkan bantuan doktor untuk mencabut cawan kertas yang melekat di bibirnya.
Martin (kanan) terpaksa mendapatkan bantuan doktor untuk mencabut cawan kertas yang melekat di bibirnya.
A
A
A

BATON ROUGE - Tindakan seorang lelaki di Louisiana, Amerika Syarikat (AS) yang mahu menguji kekuatan gam jenama Gorilla Glue akhirnya mengundang padah.

Len Martin tidak menyangka tindakannya itu akan berakhir di hospital.

Pemuda yang sering melakukan cabaran pelik demi meraih perhatian di media sosial itu berkata, dia menguji kekuatan Gorilla Glue kerana skeptikal dengan laporan media berhubung tindakan seorang wanita menggayakan rambut menggunakan gam tersebut.

Katanya, wanita itu, Tessica Brown sengaja mengada-adakan cerita apabila memberitahu semburan Gorilla Glue yang digunakannya kekal melekat di kulit kepala selama sebulan.

"Saya mahu buktikan Gorilla Glue tidak sekuat seperti didakwa Tessica. Jadi, saya mahu mencubanya sendiri.

"Saya letak gam pada cawan kertas dan meletakkannya di bibir saya.

"Ternyata saya salah. Jadi, jangan ulangi cabaran ini," ujar Martin yang terpaksa mendapatkan bantuan doktor untuk mencabut cawan kertas itu daripada bibirnya.

Minggu lalu, Brown memuat naik gambar menunjukkan dia berada di sebuah hospital di Lousiana selepas gam Gorilla Glue melekat di kulit kepalanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Rambut gadis AS melekat selepas guna gam kuat

Wanita itu mungkin terpaksa menjalani pembedahan yang menelan kos ribuan ringgit.

Susulan insiden itu, Gorilla Glue mengeluarkan kenyataan meminta orang ramai berhenti menggunakan produk itu dalam sebarang bentuk cabaran di media sosial.

Menurut maklumat dalam laman web Gorilla Glue, gam kimia itu yang mengandungi aseton dan propana serta 100 peratus kalis air, bagus untuk kegunaan pada kayu dan lamina. - Agensi