PN Selangor bentuk struktur organisasi lebih strategik

Senarai struktur organisasi PN Selangor.
Senarai struktur organisasi PN Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor mengumumkan pembentukan struktur organisasi gabungan itu yang lebih strategik bagi menjana kekuatan baru dalam memperkukuhkan keyakinan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada 5 Februari lalu, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bagi membincangkan mengenai pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) di Selangor.

Beliau berkata, pertemuan itu turut berlangsung dengan penuh musyawarah bagi memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi tersebut.

"Landskap politik Selangor serta cabaran-cabaran semasa menuntut supaya PN menampilkan politik progresif dan berpencerahan dengan fokus memperkukuh perpaduan, prihatin kebajikan, menjana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menerusi pengumuman struktur organisasi tersebut, Mohamed Azmin memegang jawatan sebagai Pengerusi PN Selangor manakala Ahmad Yunus dan Abdul Rashid pula dilantik sebagai naib pengerusi.

Dalam pada itu, Azmin berkata, PN Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti anggota gabungan itu untuk mewakili kerencaman masyarakat dan negeri ini.

"Kita akan terus memperkukuhkan dan memberdayakan kepimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhan," katanya.

Tambahnya, pengalaman bekerjasama bersama Bersatu dan Pas dalam kerajaan Selangor pastinya akan memperkukuhkan lagi kekuatan dasar serta pelaksanaan gerak kerja demi masa depan Selangor yang gemilang.

Artikel Berkaitan: