Ebit Lew bantu pemuda buta yang tular rumah terbakar

Usahawan yang juga sukarelawan Ebit Lew (kanan) bersama Mohd Yazid (tengah) melihat tapak rumah terbakar di Kampung Pengkalan Nangka Pengkalan Chepa pada Rabu. FOTO: BERNAMA
Usahawan yang juga sukarelawan Ebit Lew (kanan) bersama Mohd Yazid (tengah) melihat tapak rumah terbakar di Kampung Pengkalan Nangka Pengkalan Chepa pada Rabu. FOTO: BERNAMA
A
A
A

KOTA BHARU - Kesedihan pemuda cacat penglihatan Mohd Yazid Mohd Nor, yang gambarnya tular di tangga setelah rumahnya terbakar pagi Selasa, mendapat perhatian penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew.

Ebit Lew berkata, pasukan misi bantuannya akan membantu Mohd Yazid, 30, dan dua abangnya, Fakhru Rrazi, 36, dan Mohd Khairulzaman, 39, menduduki rumah baharu yang akan dibina dengan kos RM70,000 dan turut menyumbangkan motosikal roda tiga jenis Modenas Kriss.

"Selepas saya melihat gambar Mohd Yazid termenung di tangga rumahnya yang musnah dalam kebakaran, saya terus bergegas ke Kota Bharu. Sebaik tiba di tempat kejadian saya berjumpa keluarga dan berbincang keperluan yang diperlukan oleh tiga beradik ini," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pengkalan Nangka, Pengkalan Chepa di sini pada Rabu.

Menurut Ebit Lew, dengan pemberian motosikal itu diharap dapat membantu Fakhru Rrazi, 36, untuk meneruskan pekerjaannya sebagai pemotong rumput dan menanggung keluarga.

Dalam kejadian pada 8.30 pagi Selasa, kebakaran rumah mereka disedari oleh Mohd Yazid, yang ketika itu sedang tidur di dalam sebuah bilik selepas merasai bahang api pada bahagian muka serta badannya dan turut terselamat kedua-dua abangnya.

Dalam misi bantuan tersebut, Ebit Lew melantik seorang kontraktor untuk membina sebuah rumah yang mengandungi tiga bilik dan dua bilik air bagi keselesaan mereka tiga beradik.

"Saya berharap pembinaan rumah ini disegerakan dan dijangka siap dalam tempoh lebih dua bulan iaitu Mei ini. InsyaALLAH sempat siap sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu, Fakhru Rrazi berkata, apa yang berlaku bagaikan sebuah mimpi buruk, namun dalam sekelip mata ia berakhir, yang langsung tidak menyangka ALLAH membantunya menerusi Ebit Lew yang menghadiahkan rumah baharu dalam masa hanya sehari. - Bernama

Artikel Berkaitan: