Gesa kerajaan percepatkan pengeluaran akaun dua KWSP untuk insurans

Poster yang turut dimuat naik Jalaluddin menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
Poster yang turut dimuat naik Jalaluddin menerusi hantaran di Facebooknya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias menggesa kerajaan mempercepatkan inisiatif pengeluaran akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bayaran insurans.

Beliau berkata, inisiatif itu diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sewaktu pembentangan Belanjawan 2021 pada November tahun lalu.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu, KWSP membenarkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun dua KWSP untuk membeli produk perlindungan insurans dan takaful hayat serta penyakit kritikal bagi diri dan keluarga yang diluluskan oleh KWSP.

Katanya, dalam keadaan pandemik ketika ini ditambah dengan ekonomi yang masih tidak stabil, banyak keluarga terpaksa menyusun semula perbelanjaan bagi mengurangkan komitmen bulanan termasuk membatalkan polisi insurans sedia ada.

"Saya lihat ini satu langkah yang kurang baik kerana polisi kesihatan, takaful hayat atau penyakit kritikal yang mereka miliki ini ibarat 'payung' yang akan melindungi mereka jika 'hujan' kelak.

"Namun begitu saya faham, ada dalam kalangan mereka terpaksa mengambil langkah sedemikian atas faktor kekangan pendapatan dan rasionalisasi perbelanjaan bulanan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.

Bagaimanapun, Jalaluddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu menegaskan, sehingga ke hari ini, KWSP masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai kaedah dan prosedur pengeluaran akaun dua untuk tujuan itu.

"Saya berharap agar perkara ini dapat diputuskan dengan segera sebelum ramai lagi rakyat di luar sana yang terpaksa membuang 'payung' yang telah lama mereka sediakan.

Artikel Berkaitan:

"Sekurang-kurangnya jika mereka yang mempunyai polisi insurans ini, sekiranya perlu untuk mendapatkan rawatan di hospital, mereka punya pilihan untuk ke hospital swasta, sekali gus mengurangkan beban kepada barisan hadapan di hospital kerajaan yang sedang sibuk berperang dengan pandemik Covid-19 ketika ini," katanya.

Kata Ahli Parlimen Jelebu itu, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan nasib rakyat, apa sahaja perkara boleh dilakukan untuk membantu dan memudahkan urusan rakyat, harus dipercepatkan.