Nahas Kobe Bryant: Juruterbang mungkin alami disorientasi

Kobe Bryant bersama anak perempuannya terkorban dalam nahas helikopter pada 26 Januari tahun lalu di Calabasas, California. - Foto Reuters
Kobe Bryant bersama anak perempuannya terkorban dalam nahas helikopter pada 26 Januari tahun lalu di Calabasas, California. - Foto Reuters
A
A
A

WASHINGTON - Nahas helikopter mengorbankan sembilan nyawa termasuk legenda NBA, Kobe Bryant bersama anak perempuannya berkemungkinan disebabkan juruterbangnya mengalami disorientasi (keliru) selepas pesawat itu memasuki gumpalan awan.

Menerusi laporan Reuters, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) berkata, juruterbang helikopter Island Express, Ara Zobayan berkemungkinan mengalami 'disorientasi ruang'.

NTSB berkata, turut dilihat menyumbang kepada insiden pada 26 Januari tahun lalu di Calabasas, California itu ialah 'tekanan disebabkan diri sendiri' dihadapi oleh juruterbang itu untuk menyempurnakan tugas penerbangan yang disewa khas oleh selebriti berkenaan.

Menurut NTSB, berkemungkinan 'pemeriksaan tidak mencukupi dan kecuaian' dalam proses pengurusan keselamatan oleh Island Express menjadi antara punca nahas berkenaan, namun helikopter terbabit didapati tiada mengalami sebarang masalah mekanikal.

Dalam tragedi menggemparkan dunia itu, helikopter Sikorsky S-76 yang membawa Bryant, 41, bersama anak perempuannya, Gianna, 13, dan tujuh penumpang lain terhempas di lereng bukit di barat Los Angeles.

Tambah NTSB, keadaan cuaca tidak menentu pada pagi hari kejadian menyebabkan jarak penglihatan terhad berkemungkinan menjadi fokus utama siasatan.

Pengerusi NTSB, Robert Sumwalt berkata, sejurus sebelum nahas, juruterbang terbabit memaklumkan helikopter itu sedang naik ke ketinggian 1,200 meter untuk berada di atas awan tetapi pesawat berkenaan sebenarnya berada di belokan kiri yang curam dan turun dengan mendadak.

"Sekiranya juruterbang ini tidak tunduk pada tekanan yang ditanggungnya untuk meneruskan penerbangan dalam cuaca buruk, kemungkinan kemalangan ini tidak akan terjadi," katanya.

Artikel Berkaitan: