Rambut gadis AS melekat selepas guna gam kuat

Tessica Brown mengalami masalah rambutnya melekat setelah dia menggunakan sejenis gam yang kuat. - Foto Instagram
Tessica Brown mengalami masalah rambutnya melekat setelah dia menggunakan sejenis gam yang kuat. - Foto Instagram
A
A
A

NEW YORK - Seorang wanita Amerika Syarikat (AS), Tessica Brown menggunakan sejenis gam kuat untuk melekatkan rambutnya bagi mengikut gaya fesyen terkini tetapi lekatannya kekal sejak kira-kira sebulan lalu.

Justeru, pada Selasa lalu dia berjaya mengumpulkan dana sebanyak AS$15,000 (RM60,705) yang mungkin digunakan untuk melakukan pembedahan plastik bagi membolehkan gadis tersebut menyelesaikan masalah rambutnya yang terlekat itu.

Brown yang merupakan penduduk Louisiana menyatakan di aplikasi TikTok pada minggu lalu bahawa dia menggunakan gam jenis Glue Gorilla setelah dia kehabisan produk rambut yang biasa digunakannya.

"Idea yang teruk, teruk teruk. Rambut saya seperti ini untuk selama kira-kira sebulan dari sekarang. Ini bukan pilihan saya," katanya seperti dilaporkan oleh AFP pada Selasa lalu.

Brown berkata, dia mencuba pelbagai produk dan pelembap termasuk syampu dan minyak kelapa untuk menyelesaikan masalah rambutnya itu tetapi semua kaedah itu gagal membuahkan hasil.

Ceritanya kemudian menjadi tular dengan para pengguna internet memberikan pelbagai kaedah penyelesaian berhubung situasi itu.

Malah, juru fesyen rambut penyanyi terkenal, Beyonce, Neal Farinah turut memberikan nasihat berhubung isu tersebut kepadanya.

Gam itu yang mengandungi bahan aseton dan propana dan 100 peratus kalis air sebenarnya baik untuk digunakan bagi melekatkan kayu, menurut laman sesawang pengeluar gam tersebut, Gorilla Glue.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu lalu, Brown menyiarkan gambar dia berada di sebuah hospital di Louisiana tetapi gagal menemui penyelesaian berhubung isu rambutnya.

"Ini akan melibatkan proses yang panjang (penyelesaian mengenai isu rambutnya)," katanya menerusi Instagram.

Menurut pengeluar gam itu dalam satu kenyataan menerusi Twitter, pihaknya berasa sedih apabila mendengar insiden malang tersebut.

"Situasi ini adalah unik kerana produk itu tidak digunakan untuk rambut kerana lekatannya dianggap kekal (buat selama-lamanya)," kata kenyataan tersebut.

Brown telah memulakan kempen bagi membiayai kos perubatan rawatan rambutnya itu dan telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM60,705 pada Selasa lalu.

Antara selebriti yang memberikan sokongan kepadanya ialah seorang penyanyi, Chance the Rapper.

Portal hiburan TMZ juga melaporkan seorang doktor bedah, Michael Obeng turut menawarkan untuk membantu Brown dalam isu rambutnya itu. - Agensi