Buat persiapan awal hadapi kemarau

Suraya (kiri) menyantuni seorang waris pelajar selepas menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan Secara Pandu Lalu di KSAH, Alor Setar pada Selasa.
Suraya (kiri) menyantuni seorang waris pelajar selepas menyerahkan Bantuan Awal Persekolahan Secara Pandu Lalu di KSAH, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk di Kedah terutamanya yang tinggal di kawasan Kedah tengah diminta membuat persiapan awal berdepan gangguan bekalan air akibat cuaca panas yang sedang berlaku.

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, gangguan bekalan air dijangka berlaku di Merbok, Tanjung Dawai, Bedong, Semeling, Singkir dan Gurun.

Menurutnya, tempat-tempat tersebut bergantung kepada operasi loji di Tupah, Merbok dan Gurun dan sumbernya diperoleh melalui sumber air hujan di kawasan tadahan Gunung Jerai.

"Kebolehan untuk proses air akan berkurangan daripada 11 juta liter (mld) kepada 9 mld sekarang ini (akibat cuaca panas).

"Di Gurun contohnya sudah ada yang merasai kesannya tapi kita berjaya mengatasinya. Kita akan bermesyuarat khas untuk mengatasi masalah ini," katanya selepas menyerahkan bantuan awal persekolahan secara pandu lalu kepada pelajar kurang kemampuan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Suraya berkata, Syarikat Air Darul Aman (SADA) telah melakukan persiapan awal dengan menyediakan tangki besar di cawangannya di Kuala Muda agar agihan air ke kawasan terjejas berjalan lancar.

"Rakyat Kedah juga diminta untuk menjimatkan air dan menyediakan tangki agar dapat menyimpan air semasa gangguan air berlaku. Sediakanlah tangki supaya lori-lori dapat agihkan air dengan mudah kepada mereka yang terjejas," katanya.

Tambah Suraya, bagaimanapun paras air di tiga empangan utama melibatkan Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda masih berada pada tahap selesa.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan lihat nanti jika cuaca panas berterusan sehingga musim tanam padi pada Mac depan.

"Masa ini kita akan agihkan air untuk kegunaan domestik dan pertanian dan ia memerlukan pengagihan air yang efisien," katanya.