Remaja maut ditikam abang ipar

Lokasi kejadian di mana seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut ditikam abang iparnya pada Ahad.
Lokasi kejadian di mana seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut ditikam abang iparnya pada Ahad.
A
A
A

GOMBAK - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut ditikam abang iparnya di tempat letak kereta di Pinggiran Batu Caves, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, susulan itu empat lelaki dan lima wanita berumur lingkungan antara 25 hingga 72 tahun ditahan sekitar Batu Caves bagi membantu siasatan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian bermula daripada pertengkaran antara suspek (abang ipar) dengan isteri serta keluarga mangsa.

"Ia berpunca daripada keengganan isteri suspek untuk tinggal bersama-sama disebabkan kurang selesa kerana rumah suaminya (suspek) turut dihuni oleh adik-beradik suspek yang lain.

"Berlaku pertengkaran mulut, provokasi dan pergelutan di antara suspek dan mangsa selepas mangsa tidak berpuas hati dengan suspek yang mengeluarkan perkataan tidak baik kepada emak mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Katanya, dalam kejadian 7.45 malam itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah kesan tikaman di bahagian bawah dada akibat pergelutan telah dibawa ke Hospital Selayang.

"Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9 malam pada hari kejadian oleh doktor bertugas. Mayatnya kemudian dihantar ke Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Motif kejadian disyaki kerana mangsa mencampuri urusan dan masalah rumah tangga suspek dan isterinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pasukan polis merampas sebilah pisau lipat berukuran 17 sentimeter di lokasi yang dipercayai digunakan di dalam kejadian itu.

"Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai Isnin (semalam) hingga Ahad depan untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.