'Pemain senior jangan rasa selamat'

Roslin mengingatkan pemain senior yang masih berada di bawah BAM supaya perlu meningkatkan prestasi permainan.
Roslin mengingatkan pemain senior yang masih berada di bawah BAM supaya perlu meningkatkan prestasi permainan.
A
A
A

BARISAN pemain senior yang tidak digugurkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak boleh merasa lega kerana mereka juga boleh disingkirkan jika gagal memberikan aksi terbaik dalam beberapa kejohanan akan datang.

Peringatan itu disuarakan bekas pemain perseorangan negara, Roslin Hashim yang turut menegaskan setiap pemain perlu meraih keputusan baik dalam kejohanan yang disertai bagi mengelakkan mereka ditunjuk jalan keluar.

“Pemain senior lain jangan rasa dah selamat walaupun tidak disingkirkan. Kalau lihat kepada tiga kejohanan di Thailand bulan lalu, memang kebanyakan pemain boleh dikatakan gagal.

“Kedudukan semua pemain dalam skuad kebangsaan memang belum terjamin dan mereka diberikan peluang lagi untuk buktikan mampu mencatat keputusan positif selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

BAM dalam satu kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) badan induk itu telah membuat penilaian prestasi menyeluruh pemain negara mengikut Projek 24.

Atas penilaian tersebut, lima pemain senior telah digugurkan iaitu perseorangan wanita, Soniia Cheah, Goh Soon Huat, Shevon Lai, Lai Pei Jing (beregu campuran) dan Vivian Hoo (beregu wanita).

Mengulas mengenai tindakan BAM tersebut, Roslin berpendapat, keputusan tersebut ada baik dan ada buruknya kepada skuad negara terutama menjelang misi memburu slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Saya anggap keputusan BAM itu ada tepat dan ada yang kurang tepat. Contohnya tindakan menggugurkan Soniia mungkin tepat sebab dia dah lama tidak memberikan impak kepada skuad kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi apa yang mengejutkan sedikit ialah pengguguran beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai. Bagi saya kalau tengok ranking dunia mereka nombor 10.

“Seeloknya bagilah peluang kepada mereka sehingga Olimpik sebab mereka juga berpeluang layak. Lagipun dalam siri Jelajah Dunia Akhir BWF di Bangkok baru-baru ini, mereka juga layak ke separuh akhir.

“Jadi saya harap BAM mengkaji semula keputusan menggugurkan Soon Huat dan Shevon, jangan sampai buat keputusan yang merugikan skuad kebangsaan nanti,” ujarnya.