Gunung Lanno: Kerajaan Perak gubal dasar pulih kawasan kuari

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak telah menggubal Dasar Mineral Negeri Perak dengan menitikberatkan aspek pemulihan kuari sebagai tindakan utama yang perlu diambil oleh setiap pemilik kuari.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Seksyen 129 Enakmen Mineral Perak mewajibkan pemilik kuari membayar sejumlah wang sebagai caruman ke dalam Kumpulan Wang Pemulihan Lombong atau Bersama kepada kerajaan negeri bagi tujuan pemulihan kawasan kuari.

Katanya, antara pemuliihan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri termasuklah penanaman semula pokok di kawasan kuari Simpang Pulai bagi mengelakkan masalah pencemaran pemandangan, pencucian jalan raya Simpang Pulai - Cameron Highlands dan pembinaan 'washing bay' berpusat untuk mencuci kenderaan yang membawa keluar bahan batuan serta mineral dari kuari.

"Kos penanaman pokok dibiayai secara bersama oleh kerajaan negeri dan pengusaha kuari manakala kerja pencucian jalan raya, pembinaan serta penyelenggaraan 'washing bay' berpusat dibiayai sepenuhnya oleh pengusaha kuari.

"Pemilik kuari juga diwajibkan untuk mengemukakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) apabila hendak menjalankan industri kuari," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Isnin.

Saarani menegaskan semua syarikat yang terlibat di dalam industri kuari di Perak perlu mematuhi lima peruntukan undang-undang berkaitan bagi membolehkan mereka terus beroperasi.

Katanya, semua operasi kuari perlu mematuhi Akta Pembangunan Mineral 1994; Enakmen Mineral (Perak) 2003 (EMP); Peraturan-Peraturan Mineral (Perak) 2008; Pekeliling Khas Pejabat Tanah dan Galian Bil.3/2017; dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, industri pengkuarian dikawal melalui lesen melombong yang tertakluk kepada ulasan dan syarat-syarat jabatan teknikal berkaitan seperti Jabatan Geosains dan Mineral (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya pemilik kuari gagal mematuhi mana-mana syarat tenemen (lesen) mineral, pemilik kuari tersebut boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sepertimana di bawah seksyen 159 EMP.

"Malah kegagalan mana-mana pemilik kuari untuk mematuhi syarat-syarat laporan EIA pula boleh menyebabkan pemilik kuari dikenakan tindakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sepertimana di bawah seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Gunung Lanno makin gondol

Sambut baik cadangan wartakan hutan batu kapur

Sementara itu, Saarani menjelaskan industri pengkuarian batu kapur merupakan salah satu penyumbang ekonomi yang terbesar kepada kerajaan negeri sejak sekitar tahun 1970.

Katanya, kebanyakan kuari di Perak dimiliki oleh syarikat persendirian yang diberikan secara pajakan dan telah beroperasi selama lebih kurang 50 tahun.

Dalam pada itu, Saarani berkata, aktiviti kuari di Gunung Terundum, Gunung Rapat dan Gunung Lanno seperti dilaporkan Sinar Harian sebelum ini telah diwartakan sebagai Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/Batuan dalam Rancangan Tempatan Majlis Daerah Batu Gajah 2025.

Jelasnya, sebahagian besar gua-gua yang terletak di ketiga-tiga gunung tersebut merupakan hak milik pengusaha kuari malah ketiga-tiga gunung tersebut tidak disenaraikan sebagai Geopark Lembah Kinta.

"Geopark Lembah Kinta mempunyai 18 geotapak di mana kesemuanya tidak terletak di dalam kawasan aktiviti pengkuarian di Zon Ekonomi Industri Asas Mineral/Batuan. Bagaimanapun, industri ini sentiasa dipantau oleh agensi yang bertanggungjawab.

Mengenai kewujudan spesis flora kritikal terancam Hopea Bilitonensis di Gunung Gajah dan Gua Tempurung, Gopeng dan penemuan fosil gigi gajah purba di dalam gua batu kapur di Gopeng, Saarani menjelaskan kawasan tersebut tidak terletak di dalam zon pengkuarian.

Malah katanya, Gua Kanthan di Chemor yang menjadi habitat spesis labah-labah Liphistius Kanthan pula terletak di dalam tanah hak milik kuari tetapi tiada aktiviti pembangunan kuari dijalankan di kawasan gua tersebut.

Pada 5 Februari lalu, Sinar Harian menyiarkan laporan khas mengenai nasib Gunung Lanno yang mempunyai ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai di sini.