Bantu golongan remaja B40

Muslimin (dua dari kiri), Timbalan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Kamel Mohamad (dua dari kanan), Setiausaha Bahagian GENIUS, Dr Noraisah Spahat (kanan) dan Ketua Pemerkasaan Remaja UKM, Dr Nasrudin Subhi (kiri) selepas menandatangani plak simbolik perasmian pameran foto dan pelancaran projek Impian Remaja di Kementerian Pendidikan Malaysia pada hari ini.
Muslimin (dua dari kiri), Timbalan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Kamel Mohamad (dua dari kanan), Setiausaha Bahagian GENIUS, Dr Noraisah Spahat (kanan) dan Ketua Pemerkasaan Remaja UKM, Dr Nasrudin Subhi (kiri) selepas menandatangani plak simbolik perasmian pameran foto dan pelancaran projek Impian Remaja di Kementerian Pendidikan Malaysia pada hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Golongan remaja yang terjebak dengan masalah sosial perlu diberi perhatian oleh masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, jika golongan itu terus dibiarkan tanpa dibimbing, dikhuatiri mereka akan terjebak dalam aktiviti negatif.

"Pembangunan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan penglibatan keluarga serta masyarakat, namun tidak semua keluarga mampu memberikan sokongan tersebut terutama keluarga dalam kelompok B40," katanya pada perasmian Foto Genius Remaja dan pelancaran Projek Impian Remaja secara dalam talian pada Isnin.

Menurutnya, ibu bapa banyak menghabiskan masa di luar rumah untuk meningkatkan pendapatan bagi menyara kos sara hidup keluarga.

"Sehubungan itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan Projek Impian Remaja yang diusahakan bersama-sama sekumpulan pelajar sarjana daripada Graduate Business School UKM.

"Antara inisiatif projek ini adalah mengumpulkan seberapa banyak penyumbang dan ia akan digunakan bagi membantu remaja yang memerlukan seperti membiayai keperluan asas, pendidikan, kesihatan serta lain-lain," katanya.

Di antara penyumbang terbesar yang turut serta dalam majlis ini ialah Kajang Plaza Medical Centre dengan sumbangan sebanyak RM120,000, Atomy Malaysia menyumbang sebanyak RM46,100 dan Export Import Bank dengan sumbangan sebanyak RM25,000 untuk tahun pertama dan dijangka sumbangan untuk tempoh tiga tahun berjumlah RM75,000.00.

Penyumbang lain ialah Yayasan Food Bank Malaysia iaitu RM15,000, Malaysia Timber Council RM10,000 dan sumbangan yang baharu diterima daripada Muslimin sendiri iaitu sebanyak RM20,000.

Artikel Berkaitan:

Muslimin berkata, pelaksanaan program Genius Remaja telah memberikan mesej jelas bahawa dalam apa juga inisiatif dilakukan, matlamatnya adalah untuk memberi kemudahan dan kesenangan kepada golongan berkenaan, sekali gus dapat membantu mereka berdikari serta meninggalkan aktiviti tidak berfaedah.

"Aktiviti masa lapang remaja dirangka khusus oleh Pusat Pemerkasaan Remaja melalui modul kemahiran yang telah memperoleh hak harta intelek.

"Remaja berkenaan bukan sahaja mampu berdikari dengan menjalankan perniagaan sendiri, malah ada yang telah menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang kemahiran yang dipelajari di Genius Remaja.

"Lebih membanggakan, seramai 11 orang alumni telah diserap sebagai tenaga pengajar dan kini mereka berkhidmat semula membantu remaja lain dalam program ini," katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu secara tidak langsung telah mengubah paradigma daripada melihat remaja sebagai bermasalah kepada remaja sebagai masyarakat yang mempunyai modal sosial berpotensi.

"Merealisasikan remaja kurang bernasib baik menjadi individu berpotensi adalah tugas yang perlu dilakukan secara berterusan dan memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pameran Foto Genius Remaja adalah hasil sentuhan, kreativiti dan inspirasi peserta kelas kemahiran fotografi sejak tahun 2010.

"Mereka menghasilkan detik-detik indah melalui jiwa mereka dengan foto yang sangat bermutu dan mempunyai makna tersendiri," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Profesor Datuk Dr Imran Ho Abdullah berkata, program yang diperkenalkan sejak tahun 2010 itu telah menyantuni lebih 6,000 remaja B40 dengan memberikan kemahiran agar mereka dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi, mempunyai kerjaya yang baik, terlibat dalam keusahawanan sosial dan seterusnya berbakti semula kepada masyarakat.

"Sehingga kini, sebanyak empat buah pusat komuniti Genius Remaja telah beroperasi di kawasan Lembah Klang iaitu di PPR Pantai Ria, PPR Seri Pantai, Perumahan Awam Desa Rejang dan PPR Kg Muhibbah," katanya.