Kerajaan kaji sistem lupus kereta terbiar

Zuraida Kamaruddin - Foto Bernama
Zuraida Kamaruddin - Foto Bernama
A
A
A

PANGKOR - Kerajaan akan melaksanakan satu kajian rintis selama enam bulan bagi memantapkan sistem pengurusan pelupusan kereta terbiar dan mencari kaedah pelaksanaan terbaik bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melupuskan kereta usang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sebagai permulaan kajian rintis itu akan melibatkan sebanyak lima PBT dan setakat ini tiga PBT telah dipilih iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) manakala selebihnya sedang dikenal pasti.

"Lima PBT ini akan dijadikan contoh untuk kajian rintis dan dalam sebulan ini mereka akan merancang Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebagainya termasuk dari segi kaedah prosesnya untuk tempoh enam bulan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan kemudahan Pusat Kecemerlangan pertama di dalam negara bagi pengendalian sisa pepejal dikendalikan Alam Flora Environmental Solutions di Loji Insinerator Pulau Pangkor, di sini pada Ahad.

Zuraida berkata, kaedah pelupusan kereta usang yang baik diperlukan bagi mengurangkan perbelanjaan PBT kerana mereka tidak perlu menyewa tapak bagi menempatkan kereta-kereta buruk dan tersadai yang ditarik pihak mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: