Bijak pandai berintegriti yang berhijrah keluar

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Negara kehilangan ramai golongan bijak pandai yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana kecewa dengan masalah rasuah dan pentadbiran.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia telah membawa Malaysia berdepan situasi ‘brain drain’ yang menyebabkan negara kehilangan ramai golongan bijak pandai.

Menurutnya, apa yang lebih jelas, ia telah membuktikan bahawa ramai dalam kalangan golongan bijak dan berintegriti turut kecewa dengan perilaku rasuah serta pentadbiran yang gagal sehingga tidak mahu lagi menjadi sebahagian daripada sistem dan kerajaan.

“Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang sebelum ini mengambil keputusan meletak jawatan sebelum kontraknya berakhir, telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat minyak global utama yang berpangkalan di Texas, Amerika Syarikat (AS) iaitu ExxonMobil.

“ExxonMobil merupakan syarikat yang hanya memilih orang berkemampuan tinggi. Ini merupakan satu kerugian buat Malaysia dan keuntungan buat Amerika,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Jelas Raja Kamarul Bahrin, tidak lama dahulu, Tan Sri Mohd Hassan Marican yang juga bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas juga bertindak meletak jawatan dari Petronas.

Beliau kemudiannya dilantik untuk berkhidmat dalam beberapa syarikat utama di bawah kerajaan Singapura seperti Temasek dan beberapa syarikat terutama Jepun yang beroperasi di Singapura.

“Amerika adalah kuasa ekonomi terbesar di dunia dan Singapura adalah ekonomi harimau utama Asia bersama-sama dengan China.

Artikel Berkaitan:

“Mengapa individu yang hebat dalam kalangan orang Melayu ini mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat besar yang berada di kedudukan 100 terbaik dalam senarai ranking dunia antarabangsa ‘Fortune 100’ seperti Petronas di saat negara kita amat memerlukan anak watan yang bijak dan berkebolehan?,” soalnya.

Jelas beliau, Malaysia kini sudah hampir terlambat kerana rasuah adalah pandemik yang lebih lama mengancam negara berbanding Covid-19 sekali gus merosakkan negara untuk satu tempoh yang panjang.

“Selagi mana budaya rasuah tidak dihapuskan, Malaysia akan terus merudum dalam perlumbaan kemajuan ekonomi di Asia, tewas kepada negara jiran dan ditinggalkan oleh rakyat kita sendiri yang berhijrah kerana pandemik ‘rompakan’ dan kerakusan kuasa terlalu berleluasa di Malaysia,” katanya.