X

Kindly register in order to view this article
!

Wartakan kawasan hutan batu kapur

MEOR RAZAK
A
A

IPOH - Sahabat Alam Malaysia (SAM) mencadangkan kawasan hutan batu kapur diwartakan sebagai hutan simpan kekal atau kawasan perlindungan.

Pegawai Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, Jabatan Perhutanan Negeri perlu menubuhkan sekurang-kurangnya satu petak contoh hutan batu kapur yang mempunyai status hutan simpan kekal atau lain-lain kawasan perlindungan supaya mempunyai jaminan security of tenure.

“Terdapat spesies kritikal terancam di bawah International Union for Conservation of Nature (IUCN) iaitu pokok Hopea bilitonensis di Gunung Gajah dan Gua Tempurung, Gopeng. Populasi flora itu hanya tumbuh di situ sahaja di Malaysia.

“Gua Khantan, Chemor pula terdapat habitat labah-labah iaitu Liphistius khantan yang ditempatkan dalam senarai merah apabila spesies itu tidak terdapat di mana-mana tempat di dunia,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Menurutnya, kedua-dua spesis itu bagaimanapun tidak terlepas berhadapan dengan ancaman kepupusan apabila populasi flora dan fauna itu berada di kawasan kuari.

Lembah Kinta berkeluasan 1,952 kilometer persegi dimasyhurkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Oktober 2018 sebagai Tapak Geologi Geopark Kebangsaan.Dilaporkan sejumlah 18 tapak geo disenaraikan antaranya Gunung Lang, Gua Tambun, Gua Naga Mas, Gua Tempurung, Gunung Korbu, Hutan Lipur Ulu Kinta dan Air Terjun Sungai Salu.

Pemandangan Gunung Lanno, Gopeng, Perak dari udara.
Pemandangan Gunung Lanno, Gopeng, Perak dari udara.

Tegasnya, pemasyhuran itu tidak cukup untuk menjamin pemeliharaan hutan batu kapur selagi status tanah di kawasan berkenaan tidak ditukar kepada hutan perlindungan.

“Selagi tidak ditukar, bila-bila masa pihak kerajaan negeri boleh mengeksploitasi sumber yang ada.

“Pembinaan Stesen Penyelidikan Batu kapur di Gua Tempurung yang diilhamkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menunjukkan potensi sebenar batu kapur di kawasan itu tetapi apabila tidak dipelihara atau dilindungi, matlamat itu seolah-olah tidak selari,” katanya. Katanya, penemuan fosil gajah purba dari gua kars (batu kapur dan dolomit) oleh sekumpulan saintis pada Oktober 2020 dan spesies terancam itu menjadi asbab kukuh untuk kerajaan negeri memelihara hutan batu kapur Lembah Kinta.

“Sudah tiba masanya kerajaan negeri menolak permohonan daripada pengusaha kuari yang ingin menjarah kawasan hutan batu kapur,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!