X

Kindly register in order to view this article
!

Sambutan Tahun Baharu Cina hanya bersama keluarga: Ismail Sabri

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perayaan Tahun Baharu Cina termasuk upacara sembahyang hanya dibenarkan disambut di rumah bersama ahli keluarga, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, upacara sembahyang di tokong tidak dibenarkan kecuali kepada lima ahli jawatankuasa tempat ibadat berkenaan dengan orang ramai digalak melakukan upacara itu di kediaman masing-masing.

"Prosedur operasi standard (SOP) ini pernah kita lakukan sewaktu Hari Raya Aidilfitri, begitu juga Deepavali.

"Bagaimanapun, untuk Sarawak kita serahkan kepada kerajaan negeri untuk umumkan kerana di sana ada PKP, ada PKPB," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Khamis.

Beliau berkata acara makan besar sempena perayaan itu juga terhad kepada ahli keluarga dari kediaman yang sama sahaja, selain aktiviti ziarah dari rumah ke rumah, rentas daerah dan negeri adalah tidak dibenarkan.

Selain itu, persembahan dan kebudayaan yang lazim seperti tarian singa, tarian naga, perarakan tanglung, persembahan opera Cina dan pertunjukan pentas juga tidak dibenarkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKP Diperketatkan (PKPD) di Blok Tahanan dan Kuarters Depot Tahanan Imigresen Pekan Nenas, Pontian, Johor pada Khamis.

Beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 408 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

Bagaimanapun katanya, semua kes positif yang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan didiscaj pada Khamis dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Mengenai kesalahan ingkar SOP, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 731 individu semalam dan daripada jumlah itu, 709 individu dikompaun, 19 direman dan tiga dijamin.

Bagi Ops Benteng pula, beliau berkata, 20 pendatang tanpa izin dan satu tekong ditahan serta 14 kenderaan darat dirampas pada Rabu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!