Dulu baiki enjin pesawat, kini enjin kereta

Muhammad Asri (dua dari kanan) melihat enjin kereta pelanggannya.
Muhammad Asri (dua dari kanan) melihat enjin kereta pelanggannya.
A
A
A

SEREMBAN - Jika dahulu kerjanya mengadap enjin pesawat setiap hari, namun kini dia terpaksa beralih kepada enjin kereta.

Semuanya bermula selepas Muhammad Asri Mohd Anas, 29, diberhentikan kerja sebagai juruteknik enjin pesawat di sebuah syarikat di Singapura pada Jun tahun lalu susulan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan industri penerbangan.

Berbekalkan duit pampasan yang diterima selepas ditamatkan kerja, beliau kini membuka sebuah bengkel kereta di Seremban 2 yang baharu beroperasi bulan ini.

"Saya terpaksa akur selepas empat tahun bekerja di syarikat itu saya diberhentikan kerana industri yang terkesan dengan kes Covid-19.

"Malah seramai 170 rakyat negara kita yang bekerja di syarikat itu juga terpaksa diberhentikan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sekembalinya ke Malaysia, beliau membuat keputusan bekerja di bengkel kereta rakannya di Senawang selama dua bulan bagi mencari pengalaman.

Muhammad Asri
Muhammad Asri

Meskipun kerja baharunya itu tidak jauh beza dengan kerja lama yang perlu mengadap enjin setiap hari, namun ia sebenarnya tidak sama.

Artikel Berkaitan:

"Enjin pesawat ini rumit dan sistem enjin dia berbeza. Siapa yang ada autoriti dalam bidang ini saja boleh membaikinya.

"Macam enjin kereta ini pula kalau belajar sendiri pun boleh. Saya tak kisah belajar dari bawah dan sebab itu saya kerja di bengkel kawan dulu sebelum buat keputusan buka bengkel sendiri," katanya.

Muhammad Asri berkata, sebelum itu beliau ada mencuba mencari pekerjaan lain dalam bidang pengkhususannya iaitu Diploma Penyelenggaraan Pesawat, namun dalam keadaan sekarang ia agak sukar.

Malah katanya, beliau juga melakukan pelbagai pekerjaan seperti menjual rokok elektronik dan terlibat dengan syarikat jualan langsung.

Beliau berkata, kebanyakan rakan sekerjanya juga masih belum dapat pekerjaan tetap dan bagi meneruskan kelangsungan hidup ada yang memilih untuk berniaga secara kecil-kecilan.

Kenangan Muhammad Asri (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan sekerjanya dahulu.
Kenangan Muhammad Asri (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan sekerjanya dahulu.

"Saya akui masa mula-mula hilang kerja ia sangat memberi tekanan pada saya. Yela... dari ada gaji dan sekarang tiada gaji. Sudahlah masing-masing semua ada komitmen.

"Tapi saya tak boleh terus mengenang nasib kerana hidup perlu diteruskan. Lagi pun bukan saya seorang saja alami nasib begini," katanya.

Katanya, beliau berharap mereka yang kehilangan kerja susulan kes Covid-19 ini diberi kekuatan dan ketabahan hati untuk meneruskan hidup.