Bakul makanan di Putrajaya mula diagih 16 Februari

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 1,000 bakul makanan berbentuk baucar tunai RM100 akan mula diedarkan pada 16 Februari depan kepada keluarga berpendapatan rendah di sekitar Putrajaya bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, baucar itu boleh ditunaikan di Pasaraya AEON Big atau CooP Mart di Presint 16.

Beliau berkata, pengagihan bakul makanan itu akan diselaraskan bersama oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Putrajaya dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Putrajaya.

"Semoga sumbangan kecil ini dapat memberi makna yang besar dalam meringankan beban khususnya golongan berpendapatan rendah yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya kepada media selepas majlis simbolik penyerahan Bakul Makanan Kenduri Rakyat Hari Wilayah Persekutuan 2021 di sini pada Selasa.

Annuar berkata, komuniti atau mereka yang memerlukan bantuan bakul makanan boleh mengisi borang permohonan yang boleh didapati di kaunter Blok A, Kompleks Perbadanan Putrajaya atau dimuat turun di portal ppj.gov.my bermula Isnin depan.

Beliau berkata, pengagihan bakul makanan secara sekali beri itu adalah bagi menggantikan Program Kenduri Rakyat yang merupakan acara istimewa bagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan setiap tahun, memandangkan tahun ini ia tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada majlis itu, Annuar turut menyampaikan sekampit beras kepada 12 penerima golongan B40 di bawah Program MyBeras@Wilayah yang merupakan inisiatif tambahan program MyFood@Wilayah.

Beliau berkata, seramai 23,000 penerima dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan menerima beras percuma itu yang akan diagihkan secara berperingkat pada setiap minggu. - Bernama

Artikel Berkaitan: