Pejuang gesa KDN sahkan status rayuan terbaharu

Kenyataan akhbar oleh Marzuki pada Selasa.
Kenyataan akhbar oleh Marzuki pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya memberikan pengesahan berhubung status rayuan yang telah dikemukakan parti tersebut pada 8 Januari lalu.

Timbalan Presiden Penaja parti itu, Datuk Marzuki Yahya berkata, KDN tidak seharusnya mengulangi jawapan yang sama seperti sebelum ini kerana Pejuang sudah melakukan perjumpaan bersama Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk menyelesaikan masalah berkaitan isu pendaftaran parti berkenaan.

Beliau berkata, Pejuang telah pun menyerahkan surat rayuan terbaharu melalui serahan tangan kepada Ketua Pengarah RoS selepas perjumpaan tersebut.

“Untuk rekod, Pejuang telah mengemukakan rayuan kepada Menteri KDN dan RoS dalam pertemuan 8 Januari lalu dan surat rayuan berkenaan diserahkan melalui serahan tangan kepada ketua Pengarah RoS.

“Saya menjangkakan pihak Menteri KDN menjawab kepada rayuan yang telah dikemukakan oleh Pejuang dengan membuat klarifikasi berhubung status rayuan yang telah dikemukakan tempoh hari.

“Bukannya mengulangi jawapan yang telah diterima daripada pihak RoS sehari sebelum didengar di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan terbaharu daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini.

Terdahulu, Hamzah memaklumkan bahawa proses pendaftaran Pejuang dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) tidak dapat diluluskan akibat daripada masalah editorial perlembagaan parti.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut itu berkata, pihaknya telah menerima rayuan daripada Pejuang pada 8 Januari lalu dan telah pun mengadakan perbincangan bersama pihak RoS bagi mendapatkan pandangan.

Sementara itu, Marzuki berkata, daripada pertemuan terbaharu bersama RoS itu, pihaknya telah berjaya mengenal pasti kesilapan teknikal dan salah faham yang terjadi dalam proses pendaftaran partinya itu.

“Pihak RoS merujuk kepada cetakan daripada laman sesawang eROSES sedangkan dokumen rasmi dan teratur telah dikemukakan oleh wakil Pejuang kepada RoS pada 2 Oktober lalu.

“Jadi, melalui semakan semula secara semuka ini, kedua-dua pihak telah bersetuju dan mengambil inisiatif untuk menggunakan dokumen rasmi yang telah dikemukakan pada Oktober lalu sebagai rujukan RoS bagi mendapatkan kelulusan permohonan ini.

"Pada hemat saya, tiada alasan lagi mengapa parti Pejuang tidak dapat diluluskan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: RoS tolak permohonan pendaftaran Pejuang

Perlembagaan parti Pejuang, Muda tidak teratur: Hamzah